Home Buletin Semasa “RINDU DI LAUTAN”: PENGORBANAN ANGGOTA MARITIM TIDAK PULANG BERAYA DEMI NEGARA

“RINDU DI LAUTAN”: PENGORBANAN ANGGOTA MARITIM TIDAK PULANG BERAYA DEMI NEGARA

128
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Di saat kebanyakan rakyat Malaysia menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta, segelintir anggota keselamatan negara terpaksa mengorbankan detik berharga itu demi memastikan perairan negara terus terpelihara.

Bagi Laskar Kelas II Maritim, Ahmad Sufian Mujan, 27, yang berasal dari Kudat, Sabah, tahun ini menjadi pengalaman pertama beliau tidak pulang beraya sejak menyertai perkhidmatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) enam bulam lalu.

Bertugas sebagai anggota unit navigasi di kapal, beliau mengakui perasaan rindu terhadap keluarga tetap hadir, namun tanggungjawab kepada negara mengatasi segalanya.

“Memang rasa rindu, tapi ini pengorbanan kita untuk menjaga keselamatan perairan negara supaya sentiasa selamat daripada sebarang pencerobohan.

“Antara perkara yang paling dirindui setiap kali Aidilfitri adalah hidangan tradisi seperti kelopes, burasak, ketupat, lemang dan rendang yang menjadi kebiasaan bersama keluarga di Sabah,”katanya.

Sementara itu, bagi Laskar Kelas II Maritim, Muhammad Fatih Mohamad Nor, yang telah empat tahun berkhidmat, pengalaman tidak pulang beraya bukan lagi perkara baharu apabila ini adalah tahun ketiga beliau menyambut Aidilfitri di laut.

Beliau berkata, cabaran bertugas ketika Ramadan dan Aidilfitri termasuk berdepan keadaan laut bergelora serta tugasan operasi yang mencabar.

Mengimbau pengalaman lalu, beliau yang berasal dari Tawau pernah terbabit dalam operasi menahan dua bot nelayan asing dari Vietnam pada tahun 2023 pada bulan Ramadan, sekali gus menguji keupayaan anggota dalam mengawal tahanan.

“Ketika itu, kami perlu memastikan keselamatan semua pihak termasuk tahanan. Dari segi kawalan, makanan dan keselamatan semuanya perlu diurus dengan teliti,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pegawai Navigasi, Leftenan Muda Maritim Muhammad Haikal Ahmad,36, berkata, sudah menjadi lumrah bagi anggota keselamatan untuk tidak dapat menyambut hari raya bersama keluarga.

Menurutnya, ini adalah kali keempat beliau tidak pulang beraya sejak bertugas di APMM Kelantan.

“Sebagai anggota penguat kuasa maritim, kami akan sentiasa berada di perairan tanpa mengira waktu, termasuk ketika Aidilfitri, kerana ancaman jenayah maritim tidak mengenal masa.

“Terdapat operasi yang dijalankan sehingga lapan hingga 10 hari di laut, termasuk tempoh sebelum dan selepas Aidilfitri, sekali gus menyebabkan anggota terpaksa menyambut perayaan itu di atas kapal,” katanya.

Kisah mereka membuktikan bahawa di sebalik kemeriahan Aidilfitri, terdapat wira-wira negara yang terus berkorban demi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan Malaysia sentiasa terpelihara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here