Home Buletin Semasa WARGA EMAS MAUT KEMALANGAN DUA MOTOSIKAL

WARGA EMAS MAUT KEMALANGAN DUA MOTOSIKAL

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA KRAI: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di hadapan Masjid Mukim Stong, Dabong di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.50 petang melalui Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai.

“Kemalangan tersebut membabitkan seorang penunggang motosikal lelaki tempatan berusia 69 tahun yang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Dabong.

“Seorang lagi penunggang bersama pembonceng motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa dipercayai keluar dari kawasan Masjid Mukim Stong sebelum dilanggar oleh sebuah motosikal lain yang sedang bergerak di jalan lurus.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Klinik Kesihatan Dabong untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) untuk proses bedah siasat,”katanya.

Mazlan berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang keluar dari kawasan masjid tanpa memberi laluan kepada motosikal yang berads di jalan lurus sehingga berlaku kemalangan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati, terutama dalam bulan Ramadan.

“Penunggang motosikal juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada ketika berada di jalan raya
serta memastikan keadaan selamat sebelum keluar dari simpang,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Khairul Izaat Md Nasir di talian 09-9666222.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here