KUALA LUMPUR: Pelakon Puteri Aishah mempertahankan kredibiliti rakan pelakon, Nabila Huda selepas seorang netizen mempersoalkan bakat lakonan pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28 di aplikasi Threads, baru-baru ini.
Memetik laporan Harian Metro, Puteri Aishah, 32, yang pernah bekerjasama dengan Nabila menegaskan kualiti dimiliki anak kepada penyanyi rock legenda Datuk Amy Search itu berada dalam kelas tersendiri dan tidak wajar dipertikai sewenang-wenangnya.
“Tidak, dia sangat berbakat. Tidak ramai orang boleh berlakon di atas pentas seperti ini. Dia mempunyai aura pentas yang tinggi dan tidak semua orang memilikinya,” tulisnya.
Menurut Puteri Aishah, dia sendiri pernah menyaksikan kehebatan Nabila yang mampu mengubah emosi dalam sekelip mata ketika berada di set penggambaran yang disifatkannya sebagai luar biasa.
“Pernah berada dalam satu babak dengannya dan dia boleh bergelak ketawa, kemudian apabila ‘action’, terus boleh menangis begitu sahaja. Setiap dialog yang dia berikan, saya boleh ‘rasa’,” tulisnya.
Kecewa dengan kritikan daripada individu yang mungkin tidak memahami selok-belok dunia lakonan, Puteri Aishah turut menitipkan pesanan pedas agar orang ramai menghormati kerja keras anak seni sebelum melontarkan kecaman.
“Jika tidak pernah berlakon di atas pentas atau di set penggambaran, jangan menghakimi, tolonglah,” tulisnya.
Pendapat Puteri Aishah itu menerima pelbagai reaksi daripada pengguna Threads, ada yang bersetuju dan ada juga sebaliknya.
Terdahulu, netizen di Threads muncul dengan komen berkaitan cara lakonan Nabila yang dianggap biasa-biasa sahaja.-HMetro Online-
IMedikel TV






