Kuala Lumpur: Pelakon, Zarif Ghazzi, 22, memaklumkan siri dan filem Kudrat 1968 : High Council tidak hanya mengangkat isu buli, sebaliknya memaparkan realiti sistem hierarki, senioriti dan politik yang wujud dalam masyarakat.
Memetik laporan Harian Metro, Menurutnya, apa yang diketengahkan dalam karya bergenre aksi drama itu adalah setiap tindakan kekerasan berlaku mempunyai sebab dan ia dapat difahami dalam keseluruhan penceritaan filem itu.
“Perjalanan Kudrat 1968 ini panjang, dan penutup kisah daripada empat episod dalam drama bersiri sebelumnya akan terjawab dalam filem ini. Segala persoalan kenapa ada tindakan sebegitu dan sebegini serta kenapa dia kejam, pasti ada jawapannya.
“Jadi, kalau ada pertanyaan sama berterusan, saya tidak kisah perlu menjelaskan berkali-kali, bahawa naskhah Kudrat 1968 ini lebih dari kisah buli. Ia mengenai hierarki, senioriti dan politik.
“Lebih dari itu untuk kita teliti sebenarnya termasuk memahami mesej yang kita boleh dapat, antaranya adalah keburukan akibat buli dan tidak sepatutnya menjadi budaya.
“Mesej mengenai buli ini boleh disampaikan dengan pelbagai cara. Sebagai pelakon, sudah tentu menjadi tanggungjawab saya sampaikan mesej buli ini dari segi visual supaya semua rakyat Malaysia bukan sahaja mengetahui, tetapi merasai juga kesan teruk daripada buli,” katanya.
Terdahulu, Zarif yang membawa watak Abbas hadir pada tayangan perdana filem Kudrat 1968: High Council, di sini, semalam.
Pernah menonton filem aksi, KL Gangster ketika zaman kanak-kanak, Zarif memaklumkan dia tidak terkesan dengan elemen kekerasan yang dipaparkan kerana ibu bapanya mendidik dengan baik di rumah.
“Sejujurnya, saya membesar dengan filem aksi seperti KL Gangster 1, KL Gangster 2 dan KL Gangster 3. Tetapi, saya bersyukur dengan cara ibu bapa membesarkan saya menjadi pembawakan diri seperti sekarang, Alhamdulillah.
“Cuma, saya tidak mahu bandingkan diri dengan anak-anak lain. Sebab, saya percaya sikap dan perilaku kanak-kanak mencerminkan cara mereka berkomunikasi dengan ibu bapa atau keluarga di rumah,” katanya.
Selain Zarif, filem Kudrat 1969: High Council arahan bersama Zulaikha Zakaria dan Khairi Asyraff, membariskan pelakon baharu dan muda seperti Mierul Aiman, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes, Akmal Asyraf dan ramai lagi.-HMetro Online-.
IMedikel TV






