TANAH MERAH: Mengusahakan lebih dua hektar ladang sirih di Kampung Bechah Laut, di sini sejak tiga tahun lalu, kini etnik Rohingya mampu memiliki pelbagai jenis kenderaan termasuk lori, selain dikatakan mempunyai van, kereta serta beberapa motosikal.
Memetik laporan Nor Fazlina Abdul Rahim melalui Berita Harian, Penduduk mendakwa, kehidupan etnik Rohingya berkenaan jauh berubah berbanding ketika mula masuk ke kampung berkenaan 20 tahun lalu yang mana mereka hanya berjalan selain menumpang kenderaan penduduk kampung, namun kini boleh dianggap sebagai ‘kaya’.
Penduduk turut mendakwa, pembelian kenderaan itu dipercayai menggunakan nama penduduk tempatan selain penduduk tempatan juga menjadi pemandu kepada kenderaan berat etnik terbabit,
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Hussin, 65, berkata kampung itu mula dimasuki hanya seorang lelaki etnik Rohingya kira-kira 20 tahun lalu yang bekerja di kebun sayur milik penduduk.
“Ketika itu, penduduk kampung kasihan dan sering memberi derma selain membelanja makan memandangkan dia hanya berseorangan selain agak susah. Dia juga bekerja di kebun penduduk kampung dan hanya menumpang kenderaan penduduk.
“Namun kini kehidupannya jauh lebih berubah kerana selain mampu mengusahakan ladang sirih lebih dua hektar, dia juga memiliki pelbagai kenderaan termasuk lori.
“Malah, dia kini mempunyai puluhan pekerja yang juga daripada etnik Rohingya selain pekerja dalam kalangan penduduk tempatan sebagai pemandu lori dan van.
“Dia pernah menceritakan kepada saya, setiap kali menghantar bekalan sirih ke luar Kelantan, dia memperoleh hasil jualan sebanyak RM10,000.
“Malah, lori yang dibeli juga digunakan untuk mengangkut pasir. Apa yang saya boleh kata, etnik Rohingya ini sangat rajin, bayangkan dari kawasan hutan boleh bertukar kepada ladang sirih tersusun dan apa sahaja yang boleh mendatangkan duit, dia akan buat,” katanya ketika ditemui.
Ladang sireh seluas lebih dua hektar di Kampung Bechah Laut, yang dipercayai diusahakan komuniti Rohingya sejak tiga tahun lalu itu dibina dengan para kayu secara tersusun.
Ia terletak di kawasan yang agak terpencil dan berbukit selain jauh dari penduduk kampung menyebabkan ada dalam kalangan penduduk tidak mengetahui kewujudan ladang terbabit.
Tanah berkenaan dipercayai disewa daripada penduduk kampung terbabit dengan bayaran mencecah ribuan ringgit dan bekalan sireh di jual di luar Kelantan, termasuk di Pulau Pinang dan Lembah Klang.
Tinjauan di lokasi berkenaan mendapati terdapat dua bangsal yang dibina di kawasan ladang berkenaan dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan baja.
Sementara itu, seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Yazid, 45, berkata setiap kali ternampak etnik Rohingya itu masuk ke kebun, kenderaan mereka juga sentiasa bertukar.
“Pada hari biasa, dia akan masuk ke kampung menaiki Perodua Myvi selain motosikal, jika untuk kutip hasil dia akan masuk dengan van. Bagaimanapun mereka tidak mengganggu penduduk kampung setakat ini kerana mereka hanya menyewa tanah di kampung ini, selain tinggal di daerah lain,” katanya. – BH Online –
IMedikelTV






