Home Buletin Semasa 25 KAKITANGAN PERHILITAN TAMBAH KEMAHIRAN HADAPI RISIKO, MENYELAMAT

25 KAKITANGAN PERHILITAN TAMBAH KEMAHIRAN HADAPI RISIKO, MENYELAMAT

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

JERANTUT: Seramai 25 kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) terpilih menyertai Kursus Pengurusan Risiko dan Operasi Penyelamatan di Kuala Tahan, dekat sini, kelmarin.

Program anjuran Institut Biodiversiti (IBD) Lanchang membabitkan peserta terdiri daripada mereka yang bertugas di kawasan perlindungan dan ekopelancongan dibawah selian agensi berkenaan.

Pengarah Institut Biodiversiti,Haidar Khan Mok Bolhassan, berkata antara pengisian kursus selama lima hari itu

termasuk pengurusan kecederaan akibat gigitan ular, bantuan hayat asas, teknik balutan tekanan dan imobilisasi.

Turut didedahkan teknik melakukan ikatan dan simpulan, pemindahan mangsa, operasi menyelamat di air, pengurusan operasi helikopter, operasi mencari serta menyelamat (SAR).

Menurutnya, kursus ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan, kemahiran teknikal dan kecekapan kakitangan dalam mengendalikan situasi kecemasan khususnya di kawasan perlindungan yang mencabar dan berisiko tinggi.

“Kakitangan yang cekap dan bersedia merupakan aset penting dalam memastikan keselamatan petugas serta keberkesanan pengurusan kawasan perlindungan dan ekopelancongan negara.

“Kehadiran tenaga pakar dalam pelbagai sebagai penceramah dan fasilitator mampu menghasilkan peserta yang berkemahiran tinggi seterusnya berupaya menjalankan tugas berkesan serta memberi pertolongan ketika berlaku kemalangan,” katanya.

Seramai 15 penceramah dan fasilitator daripada Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur termasuk Balai Bomba Kuala Tahan selain dua doktor pakar dari Hospital Selayang menjayakan kursus diadakan.

Beliau menambah, kursus yang diadakan membabitkan latihan teori dan praktikal, peserta berpeluang merasai situasi sebenar berhadapan kemalangan yang berlaku ketika berada dalam hutan.

Haidar Khan berkata, program Inisiatif Pemerkasaan Tenaga Pengajar Institut Latihan Awam (IMPAK) Jabatan Perkhidmat Awam (JPA) ialah Inisiatif Pemerkasaan Kompetensi Latihan Tenaga Pengajar Institut Latihan Awam yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

Ia bertujuan untuk memperkukuh kemahiran, pengetahuan dan kompetensi tenaga pengajar di Institut Latihan Awam (ILA) agar selaras dengan keperluan semasa perkhidmatan awam.

“Institut Biodiversiti (IBD) Lanchang mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam di atas penyaluran peruntukan IMPAK kepada Jabatan PERHILITAN bagi menganjurkan Kursus Pengurusan Risiko dan Operasi Penyelamatan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here