Home Luar Negara EKSPLOITASI WANITA: TIGA BERADIK DIPENJARA 30 TAHUN

EKSPLOITASI WANITA: TIGA BERADIK DIPENJARA 30 TAHUN

New York: Tiga beradik yang didapati bersalah mengeksploitasi kedudukan mereka dalam kalangan golongan kaya dan elit masyarakat di New York serta Miami untuk memberi dadah dan merogol wanita, masing-masing dijatuhi hukuman penjara 30 tahun pada Selasa, lapor Reuters.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Kembar, Alon Alexander dan Oren Alexander, 39, serta Tal Alexander, 40, dijatuhi hukuman oleh Hakim Mahkamah Daerah Amerika Syarikat (AS), Valerie Caproni, di Manhattan, tujuh bulan selepas mereka didapati bersalah atas pelbagai kesalahan seksual, termasuk konspirasi melakukan pemerdagangan seks, selepas perbicaraan selama enam minggu.

Peguam ketiga-tiga beradik itu belum memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas perkara berkenaan.

Caproni menyifatkan perbuatan mereka sebagai ‘mengerikan’, menurut beberapa laporan media.

Oren dan Tal ialah pengasas bersama firma pembrokeran hartanah mewah, Official, manakala Alon adalah eksekutif di syarikat keselamatan milik keluarganya, Kent Security.

Pendakwa raya memohon hukuman penjara seumur hidup, manakala pihak pembelaan meminta hukuman minimum mandatori 15 tahun penjara.

Menurut pendakwa raya, ketiga-tiga beradik itu mengeksploitasi status sosial mereka untuk menjadikan wanita dan remaja perempuan sebagai mangsa selama sekurang-kurangnya 14 tahun.

Lebih 70 wanita mendakwa mereka menjadi mangsa serangan seksual oleh seorang atau lebih daripada tiga beradik itu di beberapa lokasi, termasuk Manhattan, Hamptons di Long Island, New York, dan Aspen, Colorado.

Dalam satu kejadian pada Januari 2017, pendakwa raya berkata tiga remaja perempuan yang meraikan tahun akhir persekolahan di sebuah kelab malam di Aspen diberikan dadah oleh ketiga-tiga beradik itu sebelum dipujuk ke hotel lima bintang mereka dengan alasan menghadiri parti susulan, sebelum diserang secara seksual.

Pesuruhjaya Polis New York, Jessica Tisch, berkata dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi pejabat Peguam AS di Manhattan yang mendakwa kes itu, hukuman berkenaan memastikan mereka akhirnya berdepan akibat atas kemudaratan besar yang dilakukan terhadap ramai mangsa.-REUTERS, HMetro Online-.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here