London: Manchester United mengambil keputusan untuk tidak memecat Michael Carrick kerana tak yakin dengan kemampuan calon pengurus yang tersedia untuk menggantikannya.
Memetik laporan Reuters Menerusi Harian Metro, Keputusan itu menyaksikan pemilik bersama United, INEOS, secara mengejut mengubah pendirian berhubung rancangan untuk memecat Carrick, meskipun kelab itu gagal mencatat kemenangan dalam lapan perlawanan dan kini menghuni tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengendali itu dipanggil menghadiri perbincangan krisis di pusat latihan Carrington kelmarin, sebelum pihak pengurusan memutuskan untuk memberinya peluang mengubah nasib pasukan.
Carrick sekurang-kurangnya akan terus mengendalikan United bagi kunjungan ke Chelsea, Sabtu ini. Beliau turut mengendalikan sesi latihan semalam selepas pemain diberikan cuti seperti biasa kelmarin.
Eddie Howe dan Julian Nagelsmann sebelum ini muncul sebagai dua calon utama untuk menggantikan Carrick selepas kekalahan 0-3 di laman sendiri kepada Bournemouth, Ahad lalu, dilihat bakal menamatkan tugasnya.
Bagaimanapun, selepas meneliti beberapa pilihan untuk melantik pengurus baharu, pihak pengurusan United akhirnya memilih untuk terus mempertahankan Carrick yang hanya dilantik secara tetap pada musim panas lalu.
Sumber memberitahu The Sun mengenai calon pengganti yang berpotensi: “Calon terbaik belum datang.”
Howe pernah membimbing Newcastle United menjulang Piala Liga Inggeris dan melayakkan kelab itu ke Liga Juara-Juara sebanyak dua kali.
Namun, beliau dilihat keletihan sebelum meninggalkan Newcastle pada penghujung musim lalu dan masih belum menerima tawaran untuk mengendalikan mana-mana kelab lain.
Nagelsmann pula pernah mendapat pujian di Jerman sebelum dilantik sebagai pengurus Bayern Munich dan kemudian ketua jurulatih pasukan kebangsaan negara itu, namun gagal memenuhi reputasi tinggi yang dimilikinya dalam kedua-dua peranan berkenaan.
Selepas kekalahan besar kepada Bournemouth, Carrick menegaskan beliau tidak mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong di Old Trafford yang melaungkan namanya ketika beliau meninggalkan padang.
“Ia bukan perpisahan daripada saya. Saya mempunyai perasaan bercampur-baur dan bersimpati dengan pemain kerana mereka sedang melalui tempoh sukar.
“Ada perkara boleh kami perbaiki, tetapi ada juga keadaan yang berkembang di luar jangkaan dan pemain sedang merasai kesannya ketika ini.
“Saya mempunyai perasaan bercampur-baur melihat penyokong memberikan sokongan sedemikian. Hubungan dengan penyokong itu amat bermakna dan saya memerlukan sedikit masa untuk menghadam semuanya, tetapi saya benar-benar menghargai sokongan mereka.
“Situasi kami sekarang memang begini dan keputusan serta prestasi yang dipamerkan tidak cukup baik,” katanya kepada Sky Sports.
Menurut laporan Chronicle Live, United juga berkemungkinan perlu membayar pampasan besar kepada Newcastle sekiranya melantik Howe, dianggarkan antara £3 juta (RM16 juta) hingga £6 juta (RM32 juta), meskipun beliau meninggalkan kelab itu pada Julai lalu.
Bekas pengendali Chelsea dan Tottenham Hotspur, Antonio Conte, turut dipertimbangkan sebagai pilihan, namun pendekatannya yang lantang dan konfrontasi dijangka sukar mendapat sokongan pembuat keputusan INEOS.
Pengurus Brighton, Fabian Hurzeler, dan pengendali Aston Villa, Unai Emery, juga berada dalam senarai calon United. Namun, kedua-duanya tidak bersedia meninggalkan kelab masing-masing, terutama ketika musim masih berlangsung.
Selepas bertandang ke Stamford Bridge hujung minggu ini, United bakal mengharungi dua aksi di laman sendiri menentang kelab Itali, Roma, dan Aston Villa sebelum berkunjung ke Anfield untuk berdepan Liverpool dalam satu lagi perlawanan tumpuan.-REUTERS, HMetro Online-.






