Home Luar Negara NEPAL PERLUAS SISTEM AMARAN AWAL BANJIR

NEPAL PERLUAS SISTEM AMARAN AWAL BANJIR

Kathmandu: Kerajaan Nepal mengumumkan rancangan memperluas sistem amaran awal banjir di enam lembangan sungai utama dan menurunkan paras air di empat tasik glasier berisiko tinggi.

Memetik laporan Bernama melalui Harian Metro, Langkah itu bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana susulan peningkatan risiko berkaitan perubahan iklim di wilayah Himalaya, lapor Xinhua.

Menurut dokumen yang dikeluarkan Pusat Penyelidikan Hidrologi dan Sumber Air serta Jabatan Hidrologi dan Meteorologi, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada strategi lebih menyeluruh untuk menambah baik ramalan banjir, mengurangkan risiko banjir akibat limpahan tasik glasier (GLOF) serta memodenkan sistem ramalan cuaca menggunakan teknologi canggih.

Perkara itu dimaklumkan oleh sekretariat Kementerian Tenaga, Sumber Air dan Pengairan Nepal menerusi kenyataan media pada Ahad.

Rancangan berkenaan diumumkan susulan banjir besar pada 26 Ogos yang mengorbankan kira-kira 1,500 nyawa, manakala lebih 5,000 orang masih dilaporkan hilang.

Banjir itu turut menyebabkan kerosakan fizikal bernilai AS$1.81 bilion, menurut Penilaian Awal Kerosakan dan Keperluan (RDNA) yang dijalankan kerajaan Nepal.

Peningkatan suhu mempercepatkan pencairan glasier di Himalaya, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan tasik glasier, kejadian runtuhan salji serta risiko banjir besar yang boleh mengakibatkan kemusnahan di kawasan hilir.

Menerusi Projek Sanjeevani bagi Menangani Banjir Akibat Limpahan Tasik Glasier (GLOF), kerajaan merancang menurunkan paras air di empat tasik glasier berisiko tinggi iaitu Thulagi di daerah Manang, Lower Barun di daerah Sankhuwasabha serta Lumding Tsho dan Hongu-2 di daerah Solukhumbu.

Projek itu dijadual dilaksanakan dari 2026 hingga 2033 dengan anggaran peruntukan sebanyak AS$49.9 juta.

Inisiatif berkenaan merupakan kesinambungan usaha terdahulu untuk mengurangkan risiko banjir di Tsho Rolpa di daerah Dolakha dan Tasik Imja di daerah Solukhumbu, yang menyaksikan paras air berjaya diturunkan bagi mengurangkan risiko GLOF.

Sementara itu, Pusat Penyelidikan Hidrologi dan Sumber Air merancang memasang sistem amaran awal banjir di enam lembangan sungai menerusi Projek Pengurusan Risiko Banjir Lembangan Sungai Keutamaan yang dilaksanakan dari 2022 hingga 2028, membabitkan pelaburan sebanyak AS$7.54 juta.

Pusat itu juga akan menyediakan perkhidmatan ramalan dan amaran awal banjir sepanjang masa dari pertengahan Mei hingga pertengahan Oktober, meliputi musim monsun utama negara berkenaan.

Secara berasingan, Jabatan Hidrologi dan Meteorologi merancang memberikan keutamaan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin dan pengkomputeran berprestasi tinggi bagi meningkatkan ketepatan serta kebolehpercayaan ramalan cuaca. – Bernama, HMetro –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here