Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Rata-rata penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menzahirkan rasa syukur susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menaikkan jumlah bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula tahun hadapan.
Sumbangan itu diteruskan menandakan keprihatinan Perdana Menteri kepada golongan yang kurang berkemampuan bagi mengurangkan beban.
Seorang pekerja swasta, Mas Nur Syakirin Md Shamhan, 25, berkata dia amat berterima kasih di atas pemberian itu kerana bakal melangkah ke alam perkahwinan bulan ini.

“Ketika berstatus bujang, saya hanya menerima STR sahaja dan tidak layak menerima bantuan SARA, jadi selepas berkahwin nanti, saya akan menerima bantuan isi rumah.
“Ini satu bonus buat saya dan bakal suami sebab sekiranya belum berkahwin, kami tidak lagi layak menerima STR tahun hadapan bagi kategori bujang.
“Jadi saya bersyukur, masih berpeluang menikmati bantuan STR dan SARA,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelasnya, langkah kerajaan itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban ekonomi selepas berkahwin.
Sementara itu, seorang warga emas, Awang Bakar, 70, turut menzahirkan kegembiraan atas peningkatan jumlah bantuan tersebut.

“Sekarang saya tidak bekerja dan tiada pendapatan, maklumlah sudah tua, saya juga bapa tunggal.
“Kalau jumlah STR dan SARA dinaikkan, saya sangat bersyukur kerana boleh membuat pembelian keperluan asas seperti beras, minyak dan gula,” katanya ketika ditemui di Pasar Siti Khadijah, di sini, hari ini.
Menurutnya, pembayaran STR yang diawalkan pada Oktober ini juga wajar dipuji kerana membantu rakyat membuat persediaan lebih awal.
“Alhamdulillah, kalau kerajaan hendak mempercepatkan agihan, kita berlapang dada. Jadi saya sebagai warga emas dapat buat belanja dalam masa terdekat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, sembilan juta penerima STR akan menerima bantuan SARA sehingga RM100 sebulan atau RM1,200 setahun bermula tahun depan.
Sementara itu, satu juta penerima STR di bawah sistem eKasih pula bakal menerima RM200 sebulan atau RM2,400 setahun.
Manakala bagi kategori isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501 hingga RM5,000 akan menerima STR sebanyak RM200 hingga RM950 setahun, selain RM1,200 SARA sepanjang tahun, iaitu RM100 setiap bulan.
IMedikel TV






