Home Buletin Semasa 11 WARGA CHINA DITAHAN TERBABIT AKTIVITI JUDI DALAM TALIAN DI PREMIS KEDIAMAN...

11 WARGA CHINA DITAHAN TERBABIT AKTIVITI JUDI DALAM TALIAN DI PREMIS KEDIAMAN MEWAH

265
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat perjudian dalam talian yang beroperasi di sebuah premis kediaman mewah di sekitar Jalan P. Ramlee, di sini, diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu Operasi Khas pada 9 Oktober lalu.

Serbuan yang dijalankan pada jam 3.50 petang itu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, hasil risikan selama dua minggu serta maklumat awam yang diterima.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata dalam operasi itu pihaknya menahan 11 individu warga China terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Hasil semakan awal mendapati dua daripada mereka memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS), manakala lima lagi tinggal lebih masa di negara ini.

“Tiga lelaki dan seorang wanita pula tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah tujuh naskhah pasport China, 11 unit komputer riba, tujuh telefon bimbit, tiga set komputer serta wang tunai berjumlah RM3,900.

Beliau berkata modus operandi sindiket berkenaan menjadikan premis mewah itu sebagai pusat operasi perjudian dalam talian yang menyasarkan pasaran luar negara, menggunakan aplikasi Telegram dan WhatsApp bagi tujuan promosi dan komunikasi dengan pelanggan.

“Seramai dua lelaki warganegara China ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, lima lelaki ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 manakala tiga lelaki dan seorang wanita ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di Pejabat Imigresen Putrajaya.

JIM terus komited melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan dan tegas bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara, seiring hasrat Kerajaan MADANI.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here