Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands menutup sementara laluan pendakian ke empat gunung berikutan berlakunya kejadian tanah runtuh selepas hujan lebat berlaku di daerah ini.
Empat gunung berkenaan ialah Gunung Berembun terletak dalam Hutan Simpan Ulu Bertam, Gunung Jasar dan Gunung Perdah dalam Hutan Simpan Sempadan Hijau (B) serta Gunung Ruil Hutan Simpan Sempadan Hijau (A).
Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Nasrul Akmal Amaludin berkata, keputusan menutup sementara dilakukan bagi tujuan Penilaian Risiko (Risk Assessment) susulan pengesanan gelongsoran tanah di beberapa lokasi sepanjang laluan pendakian.
Menurutnya, keadaan tanah yang tidak stabil berpotensi mendatangkan risiko kepada pendaki, khususnya ketika hujan dan apabila laluan berada dalam keadaan basah serta licin.
Katanya, bagi menjamin keselamatan pendaki pihaknya memutuskan untuk menutup sementara laluan pendakian ke empat gunung terbabit dan dibuka apabila keadaan selamat.

“Semua pendaki dan pengunjung adalah diminta mematuhi arahan penutupan dan tidak memasuki atau menggunakan laluan yang telah ditutup sehingga notis pembukaan semula dikeluarkan.
“Orang awam juga tidak dibenarkan menggunakan laluan alternatif atau laluan tidak rasmi bagi memasuki kawasan berkenaan sepanjang tempoh penutupan,” katanya, di sini semalam.
Beliau menambah, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi membolehkan pihaknya menjalankan penilaian risiko dan tindakan keselamatan dengan sewajarnya selain mengelak kejadian kemalangan serta risiko kepada pasukan penyelamat sekiranya berlaku kecemasan.
Nasrul Akmal berkata, pihaknya akan terus memantau kawasan terbabit bagi memastikan tidak ada pendaki dan pengunjung mematuhi arahan penutupan dan tidak memasuki atau menggunakan laluan yang telah ditutup.
Katanya, pihaknya turut mengesan berlaku kejadian tanah runtuh antara Gunung Jasar ke Gunung Perdah. Keadaan cuaca yang tidak menentu di daerah mengundang lebih banyak kejadian runtuh.
Tambahnya lagi, pihaknya sentiasa mementingkan keselamatan pengunjung dan pendaki, faktor berkenaan mendorong tindakan menutup sementara laluan ke empat gunung terpaksa dibuat.
IMedikel TV





