Kuala Lumpur : Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan persembahannya menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku pada satu acara Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam sebenarnya diputuskan pada saat-saat akhir.
Memetik laporan Harian Metro, Siti, 45, berkata, dia pada asalnya hanya hadir sebagai penonton bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa sebelum dihubungi pihak penganjur sehari sebelum acara berlangsung.
“Sebenarnya tawaran ini agak saat akhir. Pihak Litar Antarabangsa Sepang ada maklumkan kepada saya mengenai protokol rasmi. Kalau Yang Di-Pertuan Agong berangkat, lagu Negaraku memang tidak memerlukan penyanyi.
“Namun, apabila Tuanku tidak dapat berangkat, lagu Negaraku kena ada penyanyi. Mereka berbincang sesama mereka dan mencadangkan nama saya.
“Kebetulan saya memang hadir untuk menonton bersama suami, jadi mereka terus bertanya kepada suami sama ada saya boleh tolong menyanyi. Demi negara, saya bersetuju,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut mengenai persiapannya, Biduanita Negara itu mengakui berdepan rasa gementar luar biasa apabila dimaklumkan persembahan berkenaan diiringi pancaragam tentera secara langsung dan bukannya menggunakan trek rakaman (minus one).
Malah, Siti terpaksa menyelaraskan susunan muzik dan kunci nada (key) hanya menerusi kiriman suara (voice note) di WhatsApp.
“Bila mereka beri susunan muzik, rupanya untuk vokal lelaki. Kalau vokal lelaki, mestilah nada saya jadi terlalu rendah dan suara tidak akan kedengaran.
“Jadi, kami berbincang menerusi telefon sahaja. Saya nyanyikan nada saya menerusi ‘voice note’ dan hantar kepada ketua muzik Angkatan Tentera. Mereka tukar susunan mengikut nada saya, rakamkan semula sesi latihan dan hantar kepada saya untuk saya berlatih sendiri,” katanya.
Tambah penyanyi lagu Jerat Percintaan itu, dia sengaja menaikkan nada pada bait akhir lagu bagi meniupkan rasa berkobar-kobar dan semangat patriotik kepada semua yang mendengar.
Dalam pada itu, menyentuh cadangan dan permintaan ramai termasuk netizen serta generasi muda yang mahukan versinya dirakam secara rasmi di studio untuk kegunaan acara kerajaan, Siti menyambut baik pandangan itu secara bersahaja dan berhemah.
“Tak tahulah nak cakap apa. Ada orang suka suara lelaki dan ada yang suka suara perempuan, itu perkara biasa. Tetapi kalau tawaran itu demi kebaikan bersama, saya okay sahaja.
“Cuma dalam fikiran saya, bila menyanyikan lagu kebangsaan, kita tidak boleh berlebih-lebihan atau terlalu melenggokkan iramanya kerana perlu menjaga adab dan rasa hormat terhadap lagu itu,” katanya.
Persembahan Siti menyanyikan lagu Negaraku di acara berkenaan sebelum ini tular di media sosial dan meraih pujian meluas daripada orang ramai yang kagum dengan lontaran vokal bertenaga serta penghayatan penuh emosi ditonjolkannya.-HMetro Online-
IMedikelTV






