KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mungkin akan ditutup semula bagi kerja-kerja penurapan selepas menerima aduan daripada pelumba MotoGP yang menyifatkan keadaan permukaan trek ketika Grand Prix (GP) Malaysia sebagai semakin teruk.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya mengambil serius maklum balas pelumba dan meneliti laporan penuh berkaitan keadaan permukaan litar yang akan diterima daripada Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) serta MotoGP.
Beliau berkata, pada awal tahun ini, SIC sememangnya mempunyai perancangan untuk melakukan penurapan semula keseluruhan trek, namun terpaksa menggunakan kaedah lain berikutan masalah bekalan bahan serta peningkatan kos.
“Pada awal tahun ini, memang perancangan kita adalah untuk menurap semula keseluruhan trek. Bagaimanapun, disebabkan perang yang berlaku di Timur Tengah, kita menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan.
“Selain itu, kos untuk mendapatkan bitumen juga agak tinggi dan dari segi logistik ia turut menjadi lebih sukar. Jadi, kita memilih kaedah lain dengan melakukan kerja ‘milling’ pada permukaan trek,” kata Shafriman kepada media selepas berakhirnya GP Malaysia, semalam.
Menurutnya, kerja penurapan itu tidak semestinya membabitkan keseluruhan litar kerana SIC akan meneliti terlebih dahulu lokasi yang dikenal pasti mempunyai masalah sebelum menentukan skop kerja.
“Kita sudah melakukan penurapan dari selekoh tujuh hingga selekoh 12 sebelum ini. Jadi, berdasarkan laporan pelumba, kita akan melihat bahagian-bahagian tertentu yang perlu diberi perhatian.
“Sama ada kita perlu melakukan penurapan semula secara keseluruhan atau hanya di bahagian tertentu, keputusan itu akan dibuat selepas kita meneliti laporan penuh daripada MotoGP dan FIM,” katanya.
Mengulas kos, Shafriman berkata, SIC perlu melihat peruntukan perbelanjaan bagi tahun depan dan tidak menolak kemungkinan menggunakan sumber kewangan sendiri sekiranya kerja penurapan perlu dilakukan.
“Sudah tentu bajet akan bertambah kerana kerja penurapan semula bukan sesuatu yang mudah. Kita perlu mengambil kira kos, bekalan bahan dan juga jadual operasi litar.
“Jika diperlukan, kita akan menggunakan sumber kita sendiri untuk melaksanakan kerja berkenaan. Bagaimanapun, keputusan sama ada penurapan penuh atau sebahagian hanya akan dibuat selepas kita menerima dan meneliti laporan lengkap daripada MotoGP serta FIM,” tambahnya.
Mengenai tempoh penutupan litar, beliau berkata, ia bergantung kepada berapa panjang dan skop penurapan yang akan dilakukan, selain perlu mengambil kira jadual penggunaan SIC yang sudah mempunyai tempahan pada Disember dan Januari 2027.
“Lebih panjang kawasan yang perlu diturap, lebih lama tempoh yang diperlukan untuk kita menutup litar. Kita juga perlu melihat kalendar tahun depan kerana sudah ada tempahan pada Disember dan Januari.
“Pada masa sama, MotoGP dan FIM menetapkan kerja penurapan perlu dilakukan sebelum ujian rasmi (MotoGP). Bagaimanapun, sama ada ia dilakukan sebelum atau selepas ujian itu masih akan dibincangkan bersama MotoGP dan FIM,” katanya. – BH Online –
IMedikelTV






