Madrid: Pelumba Movistar, Raul Garcia Pierna muncul pelumba paling agresif dalam kalendar WorldTour 2026 apabila menghabiskan jarak keseluruhan 2,610 kilometer (km) di depan kelompok utama menerusi gerakan serangan dan breakaway.
Memetik laporan Reuters melalui Harian Metro, Berdasarkan statistik ProCyclingStats yang dipetik CyclingUpToDate, Garcia Pierna menduduki tangga teratas senarai 10 pelumba paling banyak menghabiskan masa di depan kelompok utama sepanjang musim ini.
Dia antara pelumba paling aktif ketika mengharungi Tour de France (TdF) dan Vuelta a Espana, selain menyumbang kepada kejayaan rakan sepasukan, Enric Mas dalam perebutan jersi merah di Vuelta.
Usaha memburu kemenangan menerusi gerakan breakaway turut membuahkan tujuh keputusan kelompok 10 terbaik buat pelumba Sepanyol itu.
Tempat kedua menjadi milik pelumba Uno-X Mobility, Andreas Leknessund dengan jarak 2,268km, manakala Baptiste Veistroffer dari Lotto-Intermarche menduduki tangga ketiga dengan 2,119km.
Veistroffer mencuri perhatian menerusi aksi agresif di TdF, manakala rakan sepasukannya, Clement Braz Afonso turut tersenarai di kedudukan kelima dengan 1,799km.
Guillaume Martin dari Groupama-FDJ United berada di tangga keempat dengan 1,822km, diikuti Tobias Halland Johannessen dari Uno-X Mobility di tempat keenam dengan 1,567km.
Valentin Paret Peintre menduduki tangga ketujuh dengan 1,538km, manakala Dries de Bondt berada di kedudukan kelapan selepas merekodkan 1,509km.
Dua lagi pelumba yang melengkapkan senarai 10 terbaik ialah Pablo Castrillo dengan 1,427km dan Einer Rubio dengan 1,406km, kedua-duanya dari Movistar.
Statistik itu hanya mengambil kira perlumbaan kategori WorldTour dan menggambarkan sumbangan pelumba yang kerap melancarkan serangan serta menyertai kumpulan breakaway sepanjang musim.
Antara nama lain yang turut menonjol dalam kelompok 20 terbaik ialah Ben Healy, Quinn Simmons dan Bruno Armirail.– REUTERS, HMetro –
IMedikelTV






