Home Hiburan ‘KALAU TIGA-TIGA CERITA SAYA MENGANDUNG…’ -PUTERI BALQIS NAFI ASYIK BAWA WATAK SAMA

‘KALAU TIGA-TIGA CERITA SAYA MENGANDUNG…’ -PUTERI BALQIS NAFI ASYIK BAWA WATAK SAMA

Sering membawakan watak berat dalam sesebuah naskhah, pelakon remaja, Puteri Balqis menepis pandangan sesetengah pihak yang menganggap watak lakonannya seakan sama dan tidak keluar daripada zon selesa.

Memetik laporan Harian Metro, Balqis atau mesra disapa Aqish berkata, setiap watak dijayakannya mempunyai latar belakang, emosi dan penyampaian berbeza.

“Kalau tiga-tiga cerita saya mengandung, wataknya tetap berbeza. Drama Keluarga Itu berbeza, drama Terlanjur Cinta berbeza dan drama Dua Nyawa juga berbeza.

“Drama Keluarga Itu mengisahkan tentang penderaan daripada keluarga sendiri. Ini adalah topik yang sangat berat dan mereka yang pernah laluinya akan suka serta ‘relate’ dengan naskhah ini.

“Watak dalam cerita itu sebenarnya bukan pemberontak, tetapi apa yang dilaluinya di rumah yang membentuk dirinya menjadi sedemikian. Drama Terlanjur Cinta mengenai pengorbanan manakala drama Dua Nyawa adalah tentang perkembangan diri sendiri.

“Mungkin nampak macam semua sama sebab watak orang mengandung, tetapi sebenarnya ada banyak emosi berbeza yang perlu saya mainkan,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Mengulas mengenai kecenderungan memilih naskhah berat, pelakon yang berusia 19 tahun itu lebih menyukai jalan cerita yang memaparkan realiti kehidupan masyarakat berbanding kisah fiksyen.

“Saya sangat suka berlakon dalam cerita yang memaparkan realiti. Saya bukan seorang yang terlalu fiksyen yang menganggap ‘semuanya baik-baik sahaja’.

“Kemungkinan ramai yang tidak minat cerita terlalu berat sebab mereka suka menutup apa yang sebenarnya berlaku dalam masyarakat. Namun, saya suka ambil watak berat kerana ini adalah topik penting yang perlu dibincangkan,” kongsinya.

Dalam pada itu, Aqish turut menegaskan dia tidak pernah menolak tawaran naskhah bergenre romantik, sebaliknya terbuka untuk menjayakannya sekiranya jalan cerita ditawarkan bersesuaian.

Ditanya jika pernah berasa penat ketika membawa watak-watak berat yang menuntut emosi serta air mata, Pemenang Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin pada 2014 itu berkata perasaan penat dan rindu silih berganti dalam bidang lakonan.

“Saya sebenarnya ada hubungan toksik dengan lakonan. Ini kerana waktu saya sedang berlakon, timbul perasaan ‘penatnya’, tetapi bila saya tidak berlakon, timbul pula rasa ‘rindunya’.

“Jadi, saya suka apa yang saya lakukan walaupun kadang-kadang saya tidak suka dengannya, tetapi saya akan tetap kembali kepadanya (berlakon) semula,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya seninya, Aqish memilih untuk berehat seketika daripada dunia lakonan selepas selesai penggambaran naskhah terbaharunya, Dua Nyawa.

Katanya, dia kini mahu menumpukan perhatian kepada perniagaan keluarga serta mencuba cabang seni baharu iaitu bidang nyanyian bersama keluarganya.

Meskipun berdepan masalah kesihatan ketika menjayakan watak Farhana di set penggambaran, ia tidak pernah menjadi penghalang buat Aqish untuk kekal fokus serta profesional dalam memberikan hasil lakonan terbaik.

Mengulas situasi tetap bekerja dan mampu memberikan lakonan mantap biarpun demam, Aqish menjelaskan komitmennya terhadap kerjaya tidak pernah berubah sejak kecil.

“Bagi saya, saya buat apa yang perlu saya buat. Sakit saya pergi kerja, sedih saya pergi kerja, gembira pun saya pergi kerja.

“Jadi waktu saya demam itu tidak ada apa sangat, cuma waktu demam itulah saya perlu berlakon babak hujan dan babak kena rendam. Ini kerana emosi watak tersebut melibatkan banyak air mata dan saya rasa hujan itu betul-betul menterjemahkan emosinya,” ujarnya.

Sementara itu, Aqish mengakui emosi serta watak berat yang dijayakannya sedikit sebanyak terbawa-bawa ke dalam kehidupan sehariannya, terutama ketika proses menjiwai skrip dan membayangkan babak yang bakal dilakonkan.

Kongsinya, persefahaman bersama pengarah dan sokongan daripada orang sekeliling memainkan peranan penting dalam memastikan kesihatan mentalnya sentiasa terjaga.-HMetro Online-.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here