KUALA LUMPUR: Penyanyi Tomok masih belum berputus asa menjejaki bekas pemain bes kumpulan New Boyz, Mohd Shukri Mohd Shanushi atau Syuk, demi merealisasikan impian peminat menyaksikan barisan asal kumpulan itu kembali bersatu.
Memetik laporan Berita Harian, Usaha itu dilakukan menjelang konsert New Boyz yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember ini, meskipun Tomok mengakui sudah hampir 15 tahun terputus hubungan dengan Syuk sejak kali terakhir mereka bertemu sekitar 2010.
Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 40, berkata, dia sudah berusaha menghubungi Syuk, malah sanggup mengunjungi kawasan kediaman bekas anggota kumpulan itu serta bertemu ibunya, namun masih belum berjaya bercakap secara langsung dengannya.
“Saya sudah cuba menghubunginya, tetapi belum mendapat jawapan sehingga hari ini. Saya juga pergi sendiri ke kawasan rumahnya, tetapi usaha itu masih belum berhasil.
“Saya ada bercakap dengan ibunya dan keluarganya turut berkongsi nombor telefon Syuk. Bagaimanapun, mereka memaklumkan dia sibuk dan akan menghubungi saya semula, tetapi sehingga kini saya masih belum dapat bercakap dengannya secara terus,” katanya.
Tomok ditemui pada majlis Kerana Dia Memanggil: Perkongsian Perjalanan Haji Alumni Irkaz Travel bersama Datin Lisa Surihani dan Tomok, di sini, hari ini.
Mengulas hubungan mereka, Tomok mengakui tidak mengetahui punca Syuk menjauhkan diri, apatah lagi pertemuan terakhir mereka sebelum ini berlangsung dalam keadaan baik tanpa sebarang perselisihan.
“Saya sendiri tidak pasti kenapa dia menjauhkan diri. Kali terakhir kami berjumpa, hubungan masih baik dan tiada masalah.
“Mungkin ada salah faham yang berlaku tanpa saya sedari. Sebab itu saya mahu berjumpa dengannya sendiri. Jika ada kesilapan daripada pihak saya, saya sedia memohon maaf,” katanya.
Menurut Tomok, kehadiran Syuk amat bermakna buat peminat memandangkan pemuzik itu terbabit dalam rakaman dua album terawal New Boyz yang memuatkan beberapa lagu popular kumpulan berkenaan sebelum posisinya digantikan Zack.
Katanya, peminat masih mengharapkan Syuk kembali bersama kumpulan itu, selepas empat konsert terdahulu berlangsung tanpa kehadiran bekas pemain bes berkenaan.
“Peminat memang mengharapkan kehadirannya. Jika Syuk ada, kenangan itu pasti lebih indah dan lengkap, apatah lagi jika dapat membawanya beraksi bersama kami di Singapura nanti.
“Saya lihat di media sosial, dia masih menyanyikan lagu-lagu New Boyz. Maknanya, mungkin dia masih merindui lagu dan kenangan bersama kumpulan ini.
“Ahli kumpulan lain yang pernah terserempak dengannya juga memberitahu Syuk masih berminat,” katanya.
Bagaimanapun, Tomok menegaskan dia tidak mahu memaksa Syuk kembali menyertai kumpulan itu sekiranya bekas anggota berkenaan mempunyai alasan peribadi untuk tidak beraksi bersama mereka.
“Saya tidak mahu memaksa. Jika dia memang tidak mahu, sekurang-kurangnya saya dan pihak pengurusan sudah berusaha sehabis baik.
“Namun, dengan masa berbaki kira-kira sebulan ini, insya-Allah kami akan terus mencuba,” katanya. – BH Online –
IMedikelTV






