ISTANBUL : Gabungan pimpinan Arab Saudi di Yaman mengumumkan pada Jumaat, pihaknya memintas dan memusnahkan dron yang dilancarkan kumpulan Houthi di kawasan Madinah di barat Arab Saudi, lapor Anadolu Ajansi.
Memetik laporan Bernama melalui Harian Metro, Jurucakap gabungan Mejar Jeneral Turki al-Maliki dalam kenyataan berkata, pertahanan udaranya telah memintas dan memusnahkan dron Houthi di kawasan itu.
Insiden berkenaan menandakan serangan Houthi keempat yang dilaporkan menyasarkan Arab Saudi pada Jumaat.
Kerajaan Yaman mengecam serangan Houthi yang diperbaharui ke atas Istana Presiden Maashiq di Aden untuk kali kedua dan Lapangan Terbang Antarabangsa Aden untuk kali ketujuh, serta dakwaan percubaan untuk menyasarkan Makkah, menggelarnya sebagai peningkatan berbahaya yang mengancam keselamatan serantau dan mengabaikan kesucian tapak suci Islam.
Menurut kerajaan itu dalam kenyataan, serangan tersebut mengancam institusi negara dan kemudahan awam serta menyatakan solidariti penuh dengan Arab Saudi.
Jurucakap tentera Houthi Yahya Saree menafikan menjalankan sebarang operasi yang menyasarkan wilayah Saudi, menolak dakwaan gabungan itu bahawa ia telah memintas dron di atas Madinah.
Saree menerusi X menuduh Arab Saudi mereka-reka dakwaan itu.
Dalam kenyataan sebelum ini, gabungan itu mengumumkan pemintasan dan pemusnahan peluru berpandu balistik yang menyasarkan wilayah selatan, peluru berpandu jelajah menuju ke wilayah barat dan dron di kawasan Makkah. – BERNAMA, HMETRO –
IMedkielTV






