Home Buletin Semasa KBS BUKA RUANG BELIA SUARAKAN KEPERLUAN 

KBS BUKA RUANG BELIA SUARAKAN KEPERLUAN 

KUALA TERENGGANU: Keperluan kemudahan sukan, sokongan kewangan serta peluang melaksanakan aktiviti antara isu utama dibangkitkan golongan belia dalam sesi dialog bersama kepimpinan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) 2026.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, setiap maklum balas yang diterima sepanjang siri jelajah berkenaan akan diteliti bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan untuk memastikan pelaksanaan program lebih berkesan pada masa hadapan.

Menurutnya, pendekatan turun padang membolehkan kementerian memahami dengan lebih dekat keperluan golongan muda, termasuk belia yang berada di luar kawasan bandar.

Katanya, sambutan positif yang diterima sepanjang siri KIBAR 2026 perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira tahap penyertaan serta pandangan yang dikemukakan peserta, bukan sekadar berdasarkan jumlah kehadiran.

“Kita tidak hanya memberi tumpuan kepada kawasan bandar, malah turut mendekati belia di luar bandar.

“Justeru, kita akan meneliti semula pelaksanaannya bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan untuk siri akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program KIBAR Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Sukan Air Negeri Terengganu, Pulau Duyong, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kefahaman masyarakat mengenai peranan KBS perlu diperluas supaya fungsi kementerian tidak hanya dilihat dari sudut penyediaan kemudahan sukan dan pemberian geran.

Sebaliknya, peranan kementerian turut merangkumi aspek pembangunan belia yang lebih menyeluruh.

Sesi dialog menerusi program itu turut membuka ruang kepada peserta dari seluruh Terengganu untuk menyampaikan pandangan secara langsung kepada kepimpinan kementerian, khususnya berhubung keperluan pembangunan belia di kawasan masing-masing.

Terengganu merupakan lokasi ke-16 daripada 17 siri KIBAR 2026 yang bermula pada April lalu, manakala Pahang dijadual menjadi destinasi terakhir bagi inisiatif berkenaan.

Program KIBAR memberi tumpuan kepada usaha mendekati golongan belia yang tidak menyertai persatuan, selain menggalakkan penglibatan mereka dalam aktiviti pembangunan komuniti.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here