Berpeluang bekerjasama dengan komposer tersohor dari Indonesia, Ilham Baso buat kali pertama, penyanyi Iskandar Ismail tampil meluahkan rasa teruja menerusi single berjudul Aku Salah.
Memetik laporan Harian Metro, Iskandar, 48, berkata, karya terbaharunya itu mengangkat tiga elemen utama dalam penceritaan iaitu berkaitan cinta, kesilapan dan peluang kedua.
Menurutnya, dia terbang ke negara jiran bagi menyempurnakan rakaman vokal sambil dibimbing secara langsung oleh Ilham, manakala pembikinan klip video pula dijalankan di Kuala Lumpur.
Meskipun ini adalah kerjasama sulung mereka, Iskandar diberi kepercayaan untuk memilih daripada empat hingga lima lagu yang diserahkan oleh Ilham sebelum akhirnya memilih lagu Aku Salah.
Mengulas cabaran menyampaikan lagu bergenre ‘galau’ itu, Iskandar mengakui tugasan berkenaan bukan sesuatu yang mudah dan mencabar keupayaan vokalnya.
“Bila dapat peluang menyanyi lagu Aku Salah dengan cara berlainan dan penuh rasa galau, timbul perasaan kagum kerana ia sebenarnya agak sukar.
“Untuk merakam rangkap pertama sahaja, saya mengambil masa kira-kira satu jam bagi mendapatkan ‘feel’ yang betul. Tanpa bimbingan Ilham sendiri, proses itu pasti menjadi lebih rumit,” katanya lagi.
Iskandar berkata, pembabitannya dalam program realiti Gegar Vaganza (GV) musim ke-12 ternyata memberi impak dan perubahan cukup besar terhadap kerjaya serta kehidupan peribadinya.
Menurutnya, meskipun namanya sudah dikenali di Singapura sebelum ini, pentas persaingan GV12 memberi platform berimpak tinggi buat dirinya.
“Memang banyak perubahan sangat kerana sebelum ini saya dikenali di Singapura, cuma platform yang diberikan menerusi GV12 ini memberi impak sangat besar.
“Saya masih ingat waktu jam 1 pagi di Lapangan Terbang Changi, Singapura, peminat sedia menunggu di luar dan memanggil nama saya. Mereka menerima kepulangan saya dengan sambutan begitu baik sekali,” kongsinya.
Sementara itu, Iskandar bersikap terbuka dan tidak melatah apabila ada pihak yang menyamakan rupa paras serta gaya nyanyiannya dengan arwah bapanya yang juga penyanyi era 1950-an, Allahyarham R Ismail.
“Ada juga orang cakap muka dan suara saya sama seperti arwah bapa, tetapi bagi saya, okey sahaja.
“Lagipun kita sendiri tidak boleh nampak diri kita sama atau tidak dengan orang di sebelah. Namun, dari segi cara nyanyian, masing-masing ada intonasi tersendiri.
“Apabila orang dengar, kadang-kadang mungkin ada yang rasa sikit sebanyak mirip atau seakan-akan sama. Tetapi, pada pandangan saya, setiap penyanyi tetap ada kelainan masing-masing,” katanya.
Berkongsi mengenai respons peminat terhadap karya terbaharunya, Iskandar meluahkan rasa syukur atas maklum balas positif yang diterima yang membawa kelainan segar buat pendengar.
Menurutnya, perubahan gaya vokal dan muzik yang ditampilkan menerusi lagu berkenaan memberi impak baharu kepada pendengar yang mengikuti perkembangan karyanya.
“Bagi saya, ini satu kelainan daripada apa yang pernah saya bawakan sebelum ini. Namun, bila mereka mendengar lagu baharu ini, ramai yang rasa ia sesuatu yang baharu, segar dan berlainan,” katanya lagi. – HMetro –
IMedikelTV






