Home Hiburan IMRAN AQIL IDAM WATAK SPIDER-MAN

IMRAN AQIL IDAM WATAK SPIDER-MAN

KUALA LUMPUR: Pelakon Imran Aqil kini lebih selektif menerima tawaran lakonan kerana mahu meneroka karakter berbeza yang mampu menguji kebolehannya, sekali gus mengelak daripada terus terikat dengan watak remaja dan pelajar sekolah.

Memetik laporan Berita Harian, Imran, 26, berkata, kebanyakan tawaran diterimanya setakat ini lebih tertumpu kepada karakter berwajah ‘nerd’ dan pelajar sekolah, membuatkan dia teringin mencuba sesuatu yang di luar kebiasaan.

“Sekarang, saya agak selektif menerima tawaran berlakon kerana sudah mempunyai isteri dan mahu mencuba sesuatu yang berbeza.

“Kalau ikutkan, daripada 17 cerita yang saya lakonkan, separuh daripadanya berkisar mengenai budak-budak atau pelajar sekolah.

“Saya faham karakter dengan fizikal kecil seperti saya memang sesuai untuk watak sebegitu. Cuma, saya tertanya-tanya sampai bila saya boleh terus membawa watak seperti ini. Saya berharap akan ada watak baharu yang boleh saya jayakan,” katanya pada sidang media drama bersiri Pickle Rival di Balai Berita, Bangsar, di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Imran berkata, dia tidak menolak semua tawaran lakonan, sebaliknya menilai setiap naskhah berdasarkan potensi untuk mengembangkan kemampuan dirinya sebagai pelakon.

Akuinya, ada kalanya dia menolak tawaran kerana merasakan watak yang diberikan tidak lagi mencabar, memandangkan sudah biasa membawakan karakter berkenaan.

“Saya tengok juga tawaran yang datang kerana kebanyakan watak yang saya dapat ialah karakter ‘nerd’ atau budak sekolah.

“Ada kalanya saya tolak kerana tiada cabaran dan watak itu sudah sebati dengan diri saya. Saya juga teringin mencuba karakter berbeza, sebab itu sekarang saya lebih selektif,” katanya.

Imran mengakui teringin membawa watak adiwira seperti Spider-Man yang dilakonkan pelakon Hollywood, Tom Holland, yang menjadi idolanya.

Malah, dia berharap industri perfileman tempatan suatu hari nanti dapat menghasilkan karya adiwira yang mampu menarik perhatian penonton, sekali gus membuka peluang kepadanya mencuba genre berkenaan.

“Saya nak watak hero kalau ada peluang. Saya mengidolakan Tom Holland sebagai Spider-Man dan berharap suatu hari nanti Malaysia boleh menghasilkan cerita seperti itu.

“Pada masa sama, saya juga nak bawa watak tentera atau polis. Kalau ada watak yang sesuai, saya sanggup membentuk badan mengikut keperluan karakter,” katanya.

Mengulas kelebihan memiliki wajah yang kelihatan muda, Imran berkata, dia tetap menghargai ciri fizikal itu kerana membuka peluang kepadanya membawakan watak remaja dan pelajar sekolah.

Tambahnya, beberapa pengarah turut menasihatinya supaya memanfaatkan kelebihan berkenaan selagi masih sesuai dengan karakter yang ditawarkan.

“Apabila berbual dengan beberapa pengarah, mereka cakap saya perlu raikan wajah seperti ini kerana beberapa tahun lagi, saya akan nampak lebih matang dan mungkin tidak lagi sesuai membawa watak pelajar sekolah.

“Betul juga, jadi saya ikut sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, Imran tidak menolak kemungkinan melakukan perubahan fizikal sekiranya mendapat tawaran watak yang benar-benar memerlukannya berbuat demikian.

“Setakat ini, saya belum pernah membentuk badan secara serius. Saya cuma kekal cergas, tetapi kalau ada watak tertentu yang sesuai, saya akan berikan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Imran tidak menafikan keinginan untuk membintangi siri televisyen (TV) popular seperti Kudrat 1968: High Council, namun mengakui sikap pemalunya menjadi antara faktor dia terlepas peluang menyertai produksi berkenaan.

Tambahnya, dia kurang selesa menyertai uji bakat terbuka yang diadakan secara langsung di hadapan orang ramai, sebaliknya lebih menyukai sesi uji bakat tertutup.

“Untuk Kudrat 1968: High Council, saya banyak terlepas peluang kerana sedikit segan. Mereka buat uji bakat secara langsung di atas pentas, sedangkan saya seorang yang pemalu.

“Saya lebih suka uji bakat tertutup, tetapi peluang itu tidak ada. Sebab itu saya terlepas peluang. Bagaimanapun, selepas ini saya akan cuba juga. Pengurus saya pun sudah marah dan saya sendiri akan cuba ubah sikap itu,” katanya. – BH Online –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here