DUBAI: Kumpulan pemberontak Houthi di Yaman yang bersekutu dengan Iran mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu balistik ke atas loji penapisan minyak terbesar milik Arab Saudi, Ras Tanura, semalam.
Memetik laporan Reuters memalui Berita Harian, Peningkatan konflik antara Yaman dan Arab Saudi itu menyemarakkan lagi gangguan terhadap bekalan minyak global, sekali gus meningkatkan risiko meletusnya konflik serantau yang lebih meluas selepas lapan bulan perang membabitkan Iran tercetus.
Selain itu, kumpulan Houthi turut mendakwa melancarkan serangan ke atas pesawat tentera Arab Saudi serta berjaya mematahkan kemaraan pasukan pakatan sokongan Riyadh berhampiran Selat Bab el-Mandeb, yang juga laluan perkapalan penting di Laut Merah.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, berkata serangan ke atas loji penapisan Ras Tanura itu menyebabkan kebakaran di kompleks berkenaan, yang turut menempatkan terminal perkapalan.
Kemudahan itu terletak di Teluk Arab, di barat Selat Hormuz.
Loji penapisan Ras Tanura yang berupaya memproses sehingga 550,000 tong minyak sehari itu pernah ditutup seketika selama beberapa bulan, sebagai langkah berhati-hati ketika tercetusnya perang Iran.
Hampir keseluruhan eksport minyak Arab Saudi disalurkan menerusi dua pelabuhan utama iaitu Ras Tanura di Teluk Arab dan Yanbu di Laut Merah.
Kedua-dua fasiliti berkenaan sebelum ini pernah menjadi sasaran serangan Houthi.
Sementara itu, Bloomberg News yang memetik sumber dengan identitinya tidak didedahkan, melaporkan Arab Saudi berjaya mengawal kebakaran yang berlaku berhampiran terminal Ras Tanura.
Kumpulan Houthi turut mendakwa melancarkan serangan ke atas dua pesawat pengangkut tentera di Lapangan Terbang Najran dan sebuah pangkalan udara di Khamis Mushait.
Selain itu, Houthi mendakwa menyerang bangunan Kementerian Pertahanan Arab Saudi di Riyadh serta Lapangan Terbang Abha.
Bagaimanapun, masih belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Arab Saudi berhubung siri serangan terbaharu itu.
Petang semalam, pihak berkuasa pertahanan awam mengeluarkan amaran serangan udara buat seketika di ibu negara Arab Saudi, Riyadh.
Pihak Pertahanan Awam Arab Saudi kemudian mengesahkan serpihan peluru berpandu balistik yang dipintas di ruang udara Riyadh merosakkan sebuah bangunan, tapak pembinaan dan sebuah kenderaan.
Pihak Pertahanan Awam Arab Saudi kemudian mengesahkan serpihan peluru berpandu balistik yang dipintas di ruang udara Riyadh merosakkan sebuah bangunan, tapak pembinaan dan sebuah kenderaan.
Sementara itu, pasukan pakatan dipimpin Arab Saudi yang memerangi Houthi bagi menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa memaklumkan mereka berjaya memintas serta memusnahkan dua peluru berpandu balistik yang dilancarkan kumpulan itu ke arah Riyadh. – REUTERS, BH Online –
IMedikelTV






