Home Sukan EDISI SULUNG LARC TARIK 46 PELUMBA KAYAK BERENTAP DI HULU BERANG 

EDISI SULUNG LARC TARIK 46 PELUMBA KAYAK BERENTAP DI HULU BERANG 

HULU BERANG: Penyertaan atlet kebangsaan dan bekas atlet negara menyerlahkan penganjuran sulung Little Amazon of Terengganu River Challenge (LARC) yang menghimpunkan 46 peserta dalam perlumbaan kayak sejauh 10 kilometer di Sungai Hulu Berang, di sini, Ahad lalu.

Kejohanan yang mempertandingkan empat kategori itu turut menarik penyertaan pendayung dari Johor, Negeri Sembilan dan Lembah Klang, dengan kategori Lelaki Elit menjadi tumpuan apabila disertai beberapa peserta bertaraf profesional.

Pengarah perlumbaan, Mohd Najib Alias, berkata meskipun laluan sungai berkenaan diklasifikasikan sebagai Kelas 1, peserta tetap berdepan cabaran arus deras, selekoh berliku dan halangan semula jadi sepanjang perlumbaan.

“Bukan mudah untuk menamatkan kayuhan sejauh 10 kilometer di laluan ini. Selain faktor ketahanan fizikal, peserta juga perlu berdepan keadaan air cetek di beberapa lokasi yang menuntut tenaga tambahan sebelum tiba di garisan penamat,” katanya.

Menurutnya, sambutan positif terhadap penganjuran sulung itu membuka ruang kepada penganjur untuk memperkenalkan beberapa kategori baharu pada edisi akan datang.

Sementara itu, bekas jurulatih kebangsaan, Muhammad Hakimi Abdullah, yang muncul naib juara kategori Campuran Elit, menyifatkan LARC sebagai platform penting dalam usaha memperkasa sukan kayak negara.

Katanya, Malaysia mempunyai potensi besar untuk mencipta kejayaan di peringkat Asia dan Olimpik, namun pembangunan bakat akar umbi perlu diperkukuh menerusi penganjuran lebih banyak kejohanan kompetitif di peringkat domestik.

“Hulu Berang mempunyai kelebihan dari segi akses logistik, kemudahan yang sesuai serta menawarkan pengalaman perlumbaan yang unik. Lokasi ini wajar dikekalkan dalam kalendar pertandingan kayak negara,” katanya.

Muhammad Hakimi pernah mengetuai skuad kanu negara sebagai jurulatih pada Sukan SEA 2011, 2013 dan 2015.

Dalam keputusan pertandingan, pasangan pemenang pingat perak Kejohanan Dunia Persekutuan Kanu Antarabangsa (ICF) 2024 di Filipina, Hassan Al Basri Ali dan Muhammad Mustakim Zulkarnain, muncul juara kategori Lelaki Elit dengan catatan masa satu jam 15 minit 53 saat.

Pasangan tuan rumah meraih tempat kedua, manakala pasukan Kamikaze Buga menduduki tempat ketiga.

Kategori Terbuka Lelaki pula dimenangi Mohammad Zulhaiqal Mohd Nasri dan Muhammad Aizat Ishak dengan catatan masa satu jam 16 minit dua saat.

Bagi kategori Campuran Elit, gandingan Tuan Muhammad Hidzam Tuan Dolah dan Nur Sarah Adiba Suhaimi muncul juara dengan catatan masa satu jam 15 minit empat saat.

Kategori Campuran Terbuka pula menyaksikan Nur Aina Natasha Riduan dan Ahmad Haziman Ahmad Rozi muncul juara.

Perlumbaan yang menggunakan kayak jenis sit-on-top dua tempat duduk (SOT Double) itu bermula dari Jenoba Camp Site, Belukar Bukit, sebelum berakhir di CBT Kalang Rengas.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here