BUKIT JALIL: “Bukan semua orang suka kita, jadi kenapa perlu sibuk melayan kecaman?”
Demikian pendirian pelakon Nadhir Nasar yang enggan membuang masa melayan komen negatif, sebaliknya memilih memberi perhatian kepada mereka yang menghargai dirinya dan hasil kerja seni.
Memetik laporan Berita Harian, Nadhir atau nama sebenarnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 30, berkata, sebagai anak seni yang sentiasa menjadi perhatian, dia terbuka menerima pelbagai pandangan orang ramai, baik mengenai penampilan mahupun mutu lakonan.
Baginya, perbezaan pendapat dan cita rasa adalah lumrah kehidupan yang tidak seharusnya dijadikan beban, apatah lagi sehingga menjejaskan ketenangan diri.
“Kenapa kita nak semua orang suka kita? Itulah maksud kehidupan. Ada banyak warna dalam kehidupan dan kehidupan menyeronokkan, maka berseronoklah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Viu Original, Bayangan Dendam, di Aurora Place, di sini, baru-baru ini.
Nadhir berkata, dia lebih selesa melihat sesuatu daripada sudut positif dan tidak mahu terlalu tertumpu kepada segelintir individu yang tidak menyukai dirinya.
“Kenapa nak fokus kepada seorang daripada 10 orang yang tidak suka? Saya fokus kepada sembilan orang lain. Benda ini soal perspektif dan cita rasa.
“Kadang-kadang ada orang suka pergi zoo, tetapi ada yang suka pergi pusat beli-belah. Kenapa kita perlu kisah kalau saya nak pergi zoo, sedangkan orang lain pergi pusat beli-belah?” katanya.
Mengakui perhatian umum adalah sebahagian daripada kehidupan sebagai pelakon, Nadhir berkata, dia sedar keputusan memilih kerjaya seni turut datang bersama tanggungjawab untuk menerima pelbagai reaksi terhadap dirinya.
Katanya, apabila memilih untuk menjadi individu yang hasil kerjanya dinantikan orang ramai, dia perlu bersedia menerima hakikat bahawa tidak semua perkara yang dilakukan akan mendapat sambutan positif.
“Saya pilih untuk jadi pelakon dan seseorang yang orang nantikan hasil kerja serta perkara yang saya lakukan.
“Sebagai pelakon atau individu yang mempunyai pengikut dan mendapat perhatian ramai, saya perlu bersedia menerima hakikat bahawa apa yang dikongsikan mungkin ada yang tidak disukai orang, tetapi ada juga yang menyukainya.
“Fokus pada perkara yang orang suka dan jangan beri perhatian kepada perkara yang orang benci. Pada akhirnya, bukan semua orang suka kita dan kita pun tidak suka semua orang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nadhir menggalas watak utama sebagai Farhan menerusi drama bersiri Bayangan Dendam, sekali gus menandakan kerjasama sulungnya dengan platform penstriman Viu.
Nadhir berkata, dia berterima kasih atas peluang diberikan untuk menjayakan naskhah berkenaan yang disifatkannya menawarkan pengalaman berbeza, terutama dari segi penghayatan emosi watak.
“Ini kali pertama saya bekerjasama dengan Viu dan kali kedua dengan pengarah, Helmi Yusof. Jadi, ada beberapa perkara baharu yang boleh kita lihat menerusi Viu Original, Bayangan Dendam.
“Emosinya sangat berat. Watak Farhan ini tidak tahu bagaimana untuk membuat keputusan yang betul. Dia dibesarkan oleh seorang ibu dan saya rasa ada banyak perkara yang boleh diterapkan dalam watak ini untuk dipersembahkan kepada penonton.
“Dengan bantuan Helmi, saya rasa semuanya dapat direalisasikan dengan baik. Sudah tentu, kerjasama dengan barisan pelakon lain yang berpengalaman dan menyeronokkan seperti Sophia dan Erysha Emyra turut membantu,” katanya.
Drama bersiri 12 episod itu mengisahkan persahabatan, pengkhianatan dan kematian mengejut yang membabitkan Ariana serta Farhan.
Selain Nadhir, naskhah berkenaan turut dibintangi Sophia Albarakbah, Erysha Emyra, Emelda Rosemila, Yusuf Bahrin dan Mia Nasir, serta ditayangkan menerusi platform penstriman Viu. – BH Online –
IMedikelTV






