Home Sukan MARQUEZ BERI PETANDA BERSARA

MARQUEZ BERI PETANDA BERSARA

Rom: Juara dunia MotoGP, Marc Marquez mengakui buat pertama kali bahawa dia berkemungkinan besar bersara selepas tamat kontrak seterusnya bersama Ducati.

Memetik laporan Agensi Melalui Harian Metro, Pelumba berusia 33 tahun itu menandatangani kontrak baharu untuk kekal bersama pasukan kilang Ducati bagi dua musim lagi awal tahun ini.

Perjanjian itu dicapai meskipun timbul ketidaktentuan mengenai tahap kecergasannya ketika dia masih bergelut dengan kesan kecederaan bahu yang dialami Oktober tahun lalu.

Marquez akan berusia 35 tahun apabila kontrak berkenaan berakhir.

Ketika ditanya mengenai masa depannya, Marquez berkata dalam temu bual bersama Autosport: “Kali ini, agak sukar untuk menjawab soalan itu.

“Saya tidak tahu dengan tepat, tetapi jika perlu memberikan angka, saya katakan ada 70 peratus kemungkinan saya bersara dalam tempoh tiga tahun dan 30 peratus kemungkinan saya masih berlumba.”

Marquez bangkit daripada kecederaan lengan serius pada 2020 untuk merangkul gelaran dunia ketujuh tahun lalu, yang juga kejuaraan dunia pertamanya bersama Ducati.

Selepas Grand Prix Australia hujung minggu lalu, Marquez kini mendahului kedudukan kejuaraan dengan kelebihan 10 mata ke atas Jorge Martin.

Dengan Martin kini mengalami kecederaan, peluang Marquez untuk merangkul gelaran dunia MotoGP kelapan semakin cerah, dengan hanya empat pusingan berbaki.

Namun, Marquez berkata dia tetap akan menamatkan karier dengan gembira walaupun gagal menjuarai kejuaraan musim ini, memandangkan pencapaiannya pada 2025 sudah cukup bermakna buat dirinya.

“Gelaran itu mengubah cara saya akan bersara apabila tiba masanya nanti. Mulai sekarang, sama ada saya memenangi satu lagi gelaran atau kurang satu gelaran, ia tidak akan membawa sebarang perbezaan.

“Apabila bersara nanti, saya akan melakukannya sebagai seorang yang bebas dan tenang dengan diri sendiri,” katanya. – AGENSI, HMETRO –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here