Mexico City: Sergio Perez melanjutkan kerjasama bersama Cadillac selepas menandatangani kontrak lanjutan yang menyaksikan pelumba Mexico itu kekal bersama pasukan Formula Satu (F1) dari Amerika Syarikat berkenaan sehingga 2029.
Memetik laporan Reuters melalui Harian Metro, Cadillac mengumumkan perkembangan itu semalam, sekali gus mengekalkan khidmat pelumba berusia 36 tahun itu untuk tempoh tiga tahun lagi.
Perez bakal meraikan penampilan Grand Prix ke-300 dalam kariernya pada perlumbaan di laman sendiri di Mexico City, hujung minggu ini.
Pemenang enam perlumbaan Grand Prix itu menyertai Cadillac sejak pasukan berkenaan membuat penampilan sulung dalam saingan F1 musim ini.
Perez berkata, beliau yakin dengan projek Cadillac sejak awal dan menganggap lanjutan kontrak itu sebagai kesinambungan semula jadi perjalanan bersama pasukan berkenaan.
“Menyertai Cadillac sejak hari pertama adalah projek yang benar-benar saya percayai, dan melanjutkan komitmen ini dirasakan sebagai kesinambungan semula jadi bagi perjalanan ini.
“Membina pasukan Formula Satu dari awal memerlukan masa, usaha berterusan dan kesabaran, namun kemajuan yang kami capai bersama amat memuaskan. Masih banyak kerja perlu dilakukan dan saya memberikan komitmen sepenuhnya untuk tiga tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemandu berpengalaman itu mula beraksi dalam F1 pada 2011 dan mencatat pencapaian terbaiknya apabila menamatkan kejuaraan dunia di tempat ketiga pada 2022.
Beliau kemudian muncul naib juara pada 2023 ketika bersama Red Bull Racing, di belakang rakan sepasukan ketika itu, Max Verstappen. – REUTERS, HMETRO –
IMedikelTV






