Home Buletin Semasa JPJ PAHANG AGIH 600 TOPI KELEDAR UNTUK PENGGUNA DI BENTONG

JPJ PAHANG AGIH 600 TOPI KELEDAR UNTUK PENGGUNA DI BENTONG

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

BENTONG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang mengagihkan 600 topi keledar percuma menerusi Program Pertukaran Topi Keledar Percuma di Dataran FELDA Jaya Mempaga, di sini, kelmarin.

Program menerusi inisiatif Program MADANI Kita (PMK) itu bertujuan memperkukuh budaya keselamatan jalan raya, khususnya dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal.

Pengarah JPJ Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman, berkata sebanyak 500 topi keledar dewasa dan 100 topi keledar kanak-kanak disediakan bagi membolehkan masyarakat setempat menukar topi keledar lama, rosak atau tidak memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.

Menurutnya, inisiatif itu memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan topi keledar baharu secara percuma dengan membawa topi keledar lama untuk ditukarkan.

“Sambutan positif yang diterima mencerminkan keprihatinan dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan jalan raya.

“Inisiatif seumpama ini memberikan manfaat secara langsung kepada komuniti setempat dan menjadi platform dalam memperkukuh hubungan serta kerjasama antara JPJ dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, JPJ Pahang turut merakamkan penghargaan kepada Badan Kawal Selia FELDA selaku penganjur Program MADANI Kita atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan inisiatif berkenaan.

Katanya, kerjasama antara kedua-dua agensi itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperluas manfaat program keselamatan jalan raya kepada komuniti setempat.

Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya berkata, program seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penggunaan topi keledar yang selamat, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan akibat kemalangan jalan raya.

“Sambutan yang diterima pada program kali ini begitu menggalakkan dengan kehadiran masyarakat setempat daripada pelbagai kaum yang merebut peluang disediakan kerajaan.

“Kita akan terus mengadakan program menukar topi keledar percuma di seluruh negeri. Sebelum ini, program sama turut diadakan di beberapa daerah,” katanya.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here