Oleh: Afrizam Arif @ I Medikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menyeru bekas-bekas pengetua membantu memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris dan Matematik selaras aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
Timbalan Pengarah JPN Negeri, Azhan Anuar berkata, pendidikan merupakan tanggungjawab bersama dan pengalaman luas golongan pesara pendidikan perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan kecemerlangan sekolah serta pencapaian murid.

“Hubungan erat antara pengetua yang sedang berkhidmat dan bekas pengetua perlu diperkasakan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta kecemerlangan pendidikan negeri.
“Berdasarkan perbincangan berkaitan empat mata pelajaran utama, Bahasa Inggeris dan Matematik dikenal pasti sebagai bidang yang memerlukan perhatian serta usaha berterusan untuk diperkasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Jamuan Amal Jubli Perak 2026, Persatuan Bekas Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Kelantan Bersama Majlis Pengetua Sekolah Menengah Malaysia (MPSM) Kelantan di sini, hari ini.
Azhan berkata, Bahasa Inggeris dan Matematik adalah antara isu semasa yang perlu kita hadapi bersama dan memerlukan idea serta pengalaman daripada mantan pengetua.
Menurutnya, bekas pengetua yang pernah mencatat kejayaan di sekolah masing-masing boleh menyumbang pandangan, strategi dan amalan terbaik untuk membantu pihak pendidikan.

“Usaha memperkasakan Bahasa Inggeris dan Matematik selaras dengan agenda membudayakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang sedang diberi perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya.
Tambahnya, pegawai School Improvement Specialist Coaches Plus (SISC+) memainkan peranan membimbing guru dalam bilik darjah, namun sokongan bekas pemimpin sekolah tetap diperlukan.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Bekas Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Kelantan (PBPSMK), Wan Sapei Wan Ahmad berkata pengalaman bekas pengetua merupakan khazanah bernilai yang masih relevan.
Katanya, PBPSMK bersedia menjadi platform perkongsian pengalaman, kepimpinan dan idea bagi membantu merealisasikan aspirasi RPM 2026-2035 serta meningkatkan pencapaian Bahasa Inggeris dan Matematik di Kelantan.
IMedikelTV






