Home Buletin Semasa KAMPUNG KOK LANAS TERIMA PERUNTUKAN RM500,000, KEMUDAHAN AWAM DIPERKASA 

KAMPUNG KOK LANAS TERIMA PERUNTUKAN RM500,000, KEMUDAHAN AWAM DIPERKASA 

KOK LANAS: Peruntukan sebanyak RM500,000 menerusi Program Kampung Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara (AGC) 2026 dimanfaatkan bagi menaik taraf pelbagai prasarana awam di Kampung Kok Lanas, Kelantan, sekali gus meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat setempat.

Penyerahan prasarana rekreasi berkenaan disempurnakan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar di Taman Pinggiran Warisan, Kampung Kok Lanas, hari ini.

Peruntukan daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui AGC itu bertujuan menyediakan kemudahan awam yang lebih selesa, selamat dan kondusif untuk kegunaan penduduk setempat.

Kampung Kok Lanas dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI AGC bagi tahun 2026 oleh MOF susulan cadangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan melalui AGC.

Inisiatif yang diperkenalkan kerajaan pada 2024 itu merupakan usaha merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar bagi memastikan pembangunan lebih seimbang serta tiada kawasan yang tercicir daripada menikmati kemudahan dan manfaat pembangunan.

Menurut Tan Sri Mohd Dusuki, pelaksanaan program berkenaan bukan sekadar melibatkan pembinaan dan penambahbaikan kemudahan fizikal, sebaliknya merupakan satu pelaburan jangka panjang terhadap kesejahteraan serta kualiti hidup masyarakat.

Antara kemudahan yang dinaik taraf di Taman Pinggiran Warisan termasuk laluan berbasikal, trek joging keluarga dan taman permainan kanak-kanak.

Turut dilaksanakan ialah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta lampu solar bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengunjung.

Selain itu, kerja-kerja mengecat turut dilaksanakan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kok Lanas dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Warisan Ketereh.

AGC turut melaksanakan kerja-kerja pembaikan kemudahan di Islamic Outreach ABIM Kelantan, iaitu Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli di Kok Lanas.

Program berkenaan turut dimeriahkan dengan pameran pelbagai agensi, pemeriksaan kesihatan, penukaran topi keledar oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jualan Rahmah.

Dalam pada itu, AGC berharap kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan dan dipelihara bersama oleh masyarakat, selain menggalakkan gaya hidup sihat, menyokong aktiviti ekonomi kecil serta meningkatkan kesejahteraan pelbagai lapisan komuniti.

Tan Sri Mohd Dusuki turut merakamkan penghargaan kepada MOF atas peruntukan yang disalurkan, Kerajaan Negeri Kelantan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam, agensi berkaitan serta kepimpinan masyarakat setempat yang menjayakan program berkenaan.

Pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI AGC 2026 mencerminkan komitmen jabatan itu dalam menyokong usaha kerajaan memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam berteraskan rakyat, selain mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dengan komuniti setempat.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here