Oleh Wartawan IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap seorang pegawai kanan dalam kes kematian seorang kanak-kanak.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, rayuan berkenaan difailkan di Mahkamah Rayuan selepas pihaknya meneliti aspek-aspek kes serta keputusan yang dibuat oleh mahkamah sebelum ini.
Menurut beliau, pihaknya sedang meneliti kemungkinan mengemukakan hujahan bagi mengembalikan pertuduhan asal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh, atau mengambil tindakan lain yang bersesuaian berdasarkan keadaan kes.
“Kita nak teliti segala aspek kes inilah, sama ada perlu kita hujah nanti sama ada perlu dikembalikan kepada pertuduhan asal iaitu membunuh ataupun apa-apa jua perkara yang sesuai dengan keadaan kes serta keputusan kes tersebut.
“Kita akan hujah nanti, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media pada Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara (AGC) 2026 di Sekolah Kebangsaan Pasir Hor, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya masih belum dapat memberikan pandangan lanjut berhubung kemungkinan terdapat kelompangan atau kekurangan dalam keputusan mahkamah berkenaan.
Ini kerana, alasan penghakiman penuh masih belum diterima, sekali gus menjadikan sebarang ulasan lanjut berhubung perkara itu terlalu awal untuk diberikan.
IMedikel TV






