Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
ROMPIN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang membekalkan sebanyak 32.6 tan makanan kering ke lima pangkalan hadapan di Pulau Tioman sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula hingga Mac tahun depan.
Lima pangkalan hadapan terletak di Kampung Salang, Kampung Mukut, Kampung Juara, Kampung Genting dan Kampung Tekek. Bantuan berkenaan bagi kemudahan lebih 3,550 penduduk kampung terbabit.
Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad berkata, penghantaran barangan makanan itu menerusi peruntukan kerajaan Pahang sebanyak RM459,792 dan RM35,000 bagi kos logistik, pengangkutan serta upah tenaga kerja.

Katanya, operasi memindahkan dan menghantar bantuan dilakukan menggunakan tiga bot di jeti Mersing, kelmarin dan aktiviti agihan ke lima pangkalan hadapan telah selesai dilakukan.
Menurutnya, bekalan makanan kering membabitkan sembilan jenis barangan asas seperti beras super import lima kilogram, gula pasir satu kilogram (kg), minyak masak dua kilogram, garam putih beriodin 400 gram, kopi-O, teh uncang, sardin, kari ayam dan biskut campuran.
“Setiap kali musim Monsun Timur Laut berlaku semua aktiviti di laut tidak boleh dilakukan berikutan laut bergelora dan semua penduduk di pulau peranginan itu memerlukan bantuan berbentuk makanan dalam tempoh masa tertentu. Ketika itu hubungan antara pulau dengan tanah besar terputus.
“Bantuan makanan yang disediakan akan diberikan kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang mampu bertahan selama kira-kira 10 hari bergantung kepada jumlah ahli keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Penghantaran Barang Makanan Kering ke Pangkalan Hadapan di Pulau Tioman Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 disempurna Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Dr Mohd Johari Hussain di Teluk Gading, dekat sini, semalam.
Khairul Amri berkata, sebanyak 42,024 pek barangan makanan kering seberat 32.6 tan terdiri daripada sembilan makanan kering disediakan dan agihan kepada KIA hanya akan dilakukan apabila keadaan memerlukan.
Sementara itu, Mohd Johari berkata, terdapat sebanyak 15 pangkalan hadapan di daerah ini dan persediaan awal makanan kering amat penting dalam memastikan mereka yang terjejas dengan Monsun Timur Laut tidak berhadapan dengan masalah makanan.
Menurutnya, di Pulau Tioman penduduk bukan berhadapan dengan kejadian banjir sebaliknya mereka terputus bekalan makanan kerana aktiviti membawa masukan makanan ke pulau peranginan berkenaan tidak dapat dilakukan berikutan laut bergelora. Semua aktiviti di laut tidak dapat dilakukan.

“Setiap kali tiba Monsun Timur Laut, Pulau Tioman seolah lumpuh daripada aktiviti laut termasuk kehadiran pelancong. Laut bergelora dan membahaya pada bot termasuk feri.
“Saya amat penghargaan usaha bersepadu JKM Pahang, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah serta agensi penyelamat yang komited memastikan rantaian bantuan sentiasa ampuh demi melindungi keselamatan seluruh rakyat di Pulau Tioman lebih 3,550 penduduk,” katanya.
Beliau menambah, pernah berlaku sebelum ini pihak berkuasa terpaksa menggunakan perkhidmatan helikopter untuk menghantar bekalan makanan kepala penduduk Pulau Tioman yang teejejas dengan Monsun Timur Laut.
IMedikel TV






