Oleh Wartawan IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan tidak akan menjadi bankrap hanya kerana membantu golongan miskin, sebaliknya kemusnahan sesebuah negara berpunca daripada salah laku kepimpinan, rasuah dan penyelewengan kekayaan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha membantu golongan memerlukan perlu diteruskan kerana ia merupakan tanggungjawab kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terbela, tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya bimbang untuk menyalurkan bantuan kepada golongan miskin kerana tiada negara yang menjadi bankrap semata-mata disebabkan usaha membantu rakyat yang memerlukan.
“Tak ada negara dan kerajaan di dunia yang jadi miskin kerana tolong orang miskin.
“Tapi negara itu rosak, musnah, itu sebab salah laku pimpinannya, tidak terkelola, nafsu serakah yang menggondol kekayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan di perkarangan AEON Mall, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sesebuah negara berpotensi mengalami kemerosotan apabila pentadbirannya dibelenggu sifat haloba, rasuah, keangkuhan serta amalan memperkayakan kelompok tertentu dan kerabat sendiri.
Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan pengurusan kewangan negara, malah boleh merosakkan sistem pentadbiran serta kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan pengurusan kerajaan yang cekap dan berintegriti bagi memastikan setiap bantuan serta peruntukan yang disediakan benar-benar memberi manfaat kepada golongan sasaran.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan terus melaksanakan langkah meningkatkan kebajikan rakyat, termasuk menerusi kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus serta pelaksanaan gaji minimum yang lebih baik.
Katanya, kos pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam bagi tahun 2026 dianggarkan sebanyak RM18 bilion, manakala peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mencecah RM16 bilion pada tahun ini.
Beliau turut mengingatkan pegawai kerajaan supaya menghentikan amalan lama yang tidak cekap dan merugikan, selain memberikan penghargaan kepada penjawat awam yang melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
IMedikel TV






