Oleh Wartawan IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan Malaysia dan Thailand akan terus memperkukuh kerjasama bagi mempercepat usaha menangani masalah banjir, khususnya di kawasan sempadan yang terjejas akibat limpahan Sungai Golok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha menangani masalah banjir di Kelantan memerlukan kerjasama erat antara kedua-dua negara, termasuk melalui pelaksanaan kerja-kerja penghakisan, pelebaran dan pendalaman sungai.
Menurut beliau, kerajaan turut memberi perhatian kepada kawasan muara Sungai Golok yang dikenal pasti antara faktor menyumbang kepada kejadian banjir di kawasan berkenaan.
Katanya, beliau sudah dua kali mengadakan rundingan dengan kerajaan Thailand, termasuk bersama Perdana Menteri negara itu, bagi memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan.
“Antara punca banjir itu termasuk hakisan dan pelebaran serta pendalaman sungai. Itu Alhamdulillah kita lakukan, tetapi melibatkan juga muara Sungai Golok.
“Saya dua kali dah berunding dengan Kerajaan Thailand, termasuk Perdana Menteri, untuk menyatakan bahawa kita harus segerakan kerana tindakan segera itu akan mengurangkan kesan banjir di selatan Thailand dan juga di Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan di perkarangan AEON Mall, di sini, hari ini.
Anwar berkata, hubungan baik antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan negara jiran penting bagi memastikan isu rentas sempadan dapat diselesaikan secara berkesan demi kepentingan rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha menangani masalah banjir memerlukan penyelarasan dan kerjasama berterusan supaya langkah penyelesaian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
IMedikel TV






