Home Buletin Semasa SEKOLAH ANGKAT MADANI PERKASA PENDIDIKAN, RAPATKAN JURANG BANDAR DAN LUAR BANDAR

SEKOLAH ANGKAT MADANI PERKASA PENDIDIKAN, RAPATKAN JURANG BANDAR DAN LUAR BANDAR

Oleh Wartawan IMedikel TV

KOTA BHARU, 1 November 2026: Inisiatif Sekolah Angkat MADANI yang diperkenalkan kerajaan terus diperkasakan bagi merapatkan jurang pembangunan pendidikan antara sekolah di bandar dan luar bandar, sekali gus memastikan murid mendapat akses kepada kemudahan pembelajaran yang lebih baik.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, inisiatif berkenaan merupakan cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut dilaksanakan menerusi program Kampung Angkat MADANI bagi memperluas pembangunan secara lebih menyeluruh.

Menurut beliau, Sekolah Kebangsaan Pasir Hor dipilih sebagai sekolah angkat Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas dicalonkan Jabatan Pendidikan Negeri dan didapati memenuhi kriteria berdasarkan penelitian data serta latar belakang sekolah berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara (AGC) 2026 di Sekolah Kebangsaan Pasir Hor, di sini, hari ini.

Menurutnya, pelbagai program telah dilaksanakan bagi meningkatkan mutu pendidikan di sekolah berkenaan, termasuk menaik taraf kemudahan pusat sumber dan teknologi maklumat (IT).

Selain itu, kemudahan berkaitan robotik turut diberikan perhatian bagi menyokong potensi serta kecemerlangan murid dalam bidang reka cipta robotik.

Beliau berkata, Sekolah Kebangsaan Pasir Hor merupakan antara sekolah yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang berkenaan.

Katanya, usaha membantu sekolah itu turut merangkumi peningkatan kemudahan dan prasarana bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Inisiatif berkenaan diharap dapat terus meningkatkan mutu pendidikan serta memberi peluang pembangunan yang lebih seimbang kepada sekolah di bandar dan luar bandar.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here