Home Sukan ALVARES TEBUS KEKALAHAN, MBILLI JADI MANGSA

ALVARES TEBUS KEKALAHAN, MBILLI JADI MANGSA

Riyadh: Petinju veteran Mexico, Saul ‘Canelo’ Alvarez mempamerkan aksi cemerlang apabila menewaskan wakil Perancis, Christian Mbilli untuk merampas semula gelaran kelas super middleweight Majlis Tinju Dunia (WBC) dalam pertarungan penuh emosi di Arab Saudi.

Memetik laporan AFP melalui Harian Metro, Alvarez menang menerusi keputusan juri selepas 12 pusingan di Riyadh, sekali gus menebus kekecewaan ketika tewas kepada petinju Amerika Syarikat, Terence Crawford pada September 2025.

Petinju berusia 36 tahun itu kembali ke gelanggang buat kali pertama sejak kekalahan berkenaan yang menamatkan penguasaannya sebagai pemegang empat gelaran utama dunia dalam divisyen itu.

Dia berdepan Mbilli, 31, yang dinaikkan sebagai pemegang gelaran pada Januari lalu, namun pertarungan yang bermula seimbang akhirnya memihak kepada Alvarez.

Ketiga-tiga juri memberikan kemenangan kepada Alvarez dengan keputusan 115-112, 116-111 dan 117-110.

Alvarez yang sukar menyembunyikan emosinya selepas menerima tali pinggang kejuaraan, mengakui kejayaan itu cukup istimewa buat dirinya.

“Sangat sukar untuk dijelaskan. Ia sesuatu yang sukar dipercayai. Perasaannya seperti saya memenangi gelaran pertama.

“Selepas 20 atau 21 tahun sebagai petinju profesional, saya memenangi gelaran pertama 16 tahun lalu. Kini, saya kembali memenangi gelaran itu,” katanya.

Kejayaan itu menambah koleksi kejuaraan dunia Alvarez yang pernah merangkul gelaran daripada kelas light middleweight hingga light heavyweight sepanjang karier profesionalnya selama 20 tahun.

Pertarungan itu tetap berlangsung meskipun konflik antara Arab Saudi dan gerakan Houthi di Yaman semakin memuncak.

Beberapa acara sukan lain di Arab Saudi dibatalkan selepas kumpulan Houthi melancarkan serangan dron, manakala pihak Arab Saudi memintas beberapa peluru berpandu sepanjang minggu ini.

Antara acara yang dibatalkan ialah kejohanan tenis pertunjukan Six Kings Slam dan pusingan terakhir Kejuaraan Rali Dunia.

Bagaimanapun, acara sukan tempur masih diteruskan di negara berkenaan.

Alvarez turut memberi bayangan mengenai situasi keselamatan itu apabila mengucapkan terima kasih kepada keluarganya yang menonton pertarungan berkenaan dari jauh buat kali pertama.

Dari segi aksi, Alvarez bermula dengan lebih tenang pada pusingan pertama sebelum Mbilli meningkatkan tekanan menerusi beberapa kombinasi pukulan pada pusingan ketiga.

Mbilli terus mengambil inisiatif pada pusingan kelima, namun Alvarez mula mempamerkan pengalaman dan kemahirannya pada pusingan keenam.

Alvarez kemudian benar-benar menguasai pertarungan pada pusingan ketujuh apabila menghimpit Mbilli ke tali gelanggang sebelum melepaskan pukulan uppercut kanan yang menggugat keseimbangan lawannya.

Mbilli turut kehilangan satu mata pada pusingan kelapan selepas melakukan pukulan ke bahagian belakang kepala, sekali gus memberi lebih ruang kepada Alvarez mengawal pertarungan sehingga tamat.– AFP, HMetro –

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here