Home Buletin Semasa POLIS PULAU PINANG GAGALKAN CUBAAN SELUDUP 40KG BUNGA GANJA KE LONDON

POLIS PULAU PINANG GAGALKAN CUBAAN SELUDUP 40KG BUNGA GANJA KE LONDON

PENANG: Cubaan menyeludup 40 kilogram (kg) bunga ganja bernilai kira-kira RM3.2 juta ke London berjaya dipatahkan polis selepas menahan seorang lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 18 Oktober lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng, berkata suspek berusia 28 tahun berasal dari Miri, Sarawak ditahan kira-kira jam 5 petang ketika berada di ruang menunggu LTAPP.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap bagasi milik suspek menemui 40kg bunga ganja yang dipercayai cuba diseludup ke London.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek berada di Pulau Pinang selama dua hari sebelum ditahan dan dipercayai hanya bertindak sebagai penghantar selepas dijanjikan upah RM9,000.

“Kita telah terjumpa satu bagasi miliknya dan apabila diperiksa, terdapat bunga ganja seberat 40 kilogram dengan nilai pasaran kira-kira RM3.2 juta.

“Suspek berasal dari Miri, Sarawak. Dia datang ke Pulau Pinang sebelum diarahkan oleh orang tengah untuk membawa dadah itu ke London. Dia hanya bertindak sebagai penghantar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Dennis Lim berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai baru pertama kali terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah selain mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan berasingan, Dennis Lim mengesahkan polis menerima laporan berhubung dakwaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini memukul isterinya pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan laporan perubatan mangsa berusia 36 tahun.

Menurutnya, setakat ini empat individu sudah dirakam keterangan termasuk pasangan suami isteri terbabit serta ahli keluarga mereka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan siasatan akan diteruskan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“Kita juga akan mendapatkan pengesahan daripada pakar perubatan,” katanya.

Dalam pada itu, Dennis Lim menafikan dakwaan bahawa polis tidak menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan.

Beliau menegaskan siasatan akan dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here