Oleh: Wartawan IMedikel TV
KOTA BHARU: Tiga murid prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh mencipta kejutan apabila berjaya merangkul Anugerah Gangsa dalam Pertandingan Inovasi AI Murid sempena Konvensyen Dasar Pendidikan Digital, sekali gus membuktikan usia bukan penghalang untuk mencipta inovasi berasaskan teknologi.
Lebih membanggakan, ketiga-tiga murid berusia enam tahun itu merupakan peserta paling muda yang bertanding dalam kategori Sekolah Rendah pada pertandingan peringkat kebangsaan yang berlangsung di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur, pada 30 hingga 31 Oktober lalu.
Kejayaan itu diraih menerusi inovasi LUKISVERSE AI, sebuah buku cerita digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan bagi membantu murid memahami jalan cerita, meningkatkan kemahiran membaca serta mengukuhkan kefahaman melalui pengalaman pembelajaran interaktif.

Projek berkenaan dibimbing guru prasekolah, Adillah Mansor, dengan penglibatan tiga murid cilik iaitu Afaf Rizqi Mohamad Amrizan, Nu’man Anaqi Amir Fahmi dan Muhammad Amir Khalish Mohd Hamzi.
Keistimewaan LUKISVERSE AI terletak pada pendekatan pembelajarannya yang menggabungkan ilustrasi visual, aktiviti kefahaman dan pentaksiran dalam satu medium digital yang disesuaikan dengan tahap perkembangan serta keupayaan murid prasekolah.
Menerusi inovasi itu, murid bukan sekadar menjadi pengguna bahan bacaan digital, malah berpeluang meneroka jalan cerita, memahami kandungan dan melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran.
Pendekatan berkenaan menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan dan bermakna, selain membantu guru melaksanakan aktiviti pengajaran serta pentaksiran secara lebih kreatif.
Pencapaian itu menjadi kebanggaan warga SK Seri Ketereh, khususnya apabila murid yang masih di peringkat prasekolah berupaya bersaing dengan peserta sekolah rendah lain dalam pertandingan berkenaan.
Kejayaan itu turut membuktikan bahawa dengan bimbingan guru, pendedahan awal kepada teknologi digital serta pendekatan pedagogi bersesuaian, kanak-kanak seawal usia enam tahun berupaya meneroka teknologi kecerdasan buatan dan menghasilkan inovasi yang mempunyai nilai pendidikan.
LUKISVERSE AI bukan sekadar sebuah buku cerita digital, sebaliknya menjadi bukti bahawa bakat, kreativiti dan budaya inovasi mampu disemai sejak di bangku prasekolah.
IMedikel TV






