Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Pasukan Pahang Rangers FC menamatkan saingan sirkit kesembilan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) dengan bergaya selepas membenam Wipers 10-0 di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam Selangor, kelmarin.
Jaringan skuad bimbangan jurulatih, Eloy Alonso Fraile menerusi hatrik oleh Rodrigo da Silva, masing-masing dua gol oleh Felipe de Souza dan Adam Rayyan.
Tiga gol lagi disumbang oleh Muhammad Amirul Izzat Mohd Annuar, Muhammad Syarifuddin Md Akhir dan Muhammad Ikmal Haikal.
Pahang Rangers selepas ini akan beraksi dalam perlawanan play-off bagi penentuan ke peringkat separuh akhir pada Sabtu depan di Stadium Tertutup SUKPA, di sini.
Bagi Fraile, prestasi terbaik berjaya dipamerkan pemain Pahang Rangers pada sirkit kesembilan apabila berjaya mencatat kemenangan besar 10-0 keatas Wipers, keputusan berkenaan menjadi penutup sebelum melangkah ke peringkat play-off.

Katanya, kebangkitan pemain Pahang Rangers muncul seawal permainan berterusan hingga mampu menghasilkan 10 gol, jumlah jaringan besar yang membuktikan kesungguhan barisan pemain memburu kejayaan.
“Saya berharap kejayaan pada sirkit kesembilan kali ini berterusan pada saingan play-off yang menjadi penentuan melangkah ke peringkat separuh akhir,
“Perlawanan di Stadium Tertutup SUKPA, Sabtu ini diharap menjadi kelebihan kepada kita untuk melangkah lebih jauh pada musim kali ini,” katanya.
Tambahnya lagi, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri diharap menjadi kelebihan kepada Pahang Rangers untuk tampil dengan lebih bersemangat untuk memburu kejayaan. Diharap peminat Tok Gajah datang beramai-ramai memberi sokongan.
IMedikel TV






