Istanbul: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad mendakwa Tehran “mahu mencapai perjanjian” bagi menamatkan perang dan menjangkakan kos bahan api domestik akan turun dengan ketara sebaik sahaja konflik berakhir, lapor Anadolu Ajansi.
Memetik laporan Bernama Menerusi Harian Metro, “Perang itu mungkin berakhir sebelum pilihan raya separuh penggal, tetapi ia akan berakhir selepas pilihan raya separuh penggal,” kata Trump kepada pemberita di Ireland.
Beliau berkata, harga petrol akan “menjunam” selepas konflik itu berakhir.
Menurut Persatuan Automobil Amerika (AAA), harga purata petrol di AS pada Ahad ialah US$4.31 segelen, meningkat daripada US$4.07 sebulan lalu dan US$3.19 setahun lalu.
Trump berkata, pegawai Iran “sentiasa menghubungi” bagi mendapatkan satu perjanjian, namun menegaskan pentadbirannya hanya akan menerima persetujuan yang memihak kepada AS.
“Saya tidak akan membuat perjanjian yang tidak baik,” katanya.
Agensi Berita Mehr Iran menolak dakwaan Trump sebagai “tidak masuk akal” dan mendakwa pemimpin AS itu cuba mewajarkan masalah ekonomi domestik yang semakin meningkat akibat konflik berkenaan.
Mengulangi matlamat utama kempen ketenteraan itu, Trump menegaskan Iran tidak boleh dibenarkan memiliki keupayaan nuklear.
“Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear dan mereka tidak akan memiliki senjata nuklear,” kata beliau.
Kemudian, ketika meninggalkan Ireland, Trump enggan mengesahkan sama ada Washington bertanggungjawab terhadap serangan maut ke atas sebuah kapal komersial Iran di Teluk apabila ditanya secara langsung mengenainya.
“Saya tidak mahu mengulas mengenainya,” kata Trump kepada pemberita.
Seorang terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam serangan terhadap sebuah kapal komersial Iran di Teluk berhampiran Pulau Qeshm di selatan Iran awal Ahad, menurut seorang pegawai tempatan.
Mengulas mengenai hubungan diplomatik terkini antara negara-negara Teluk dengan Tehran, Trump berkata perkara itu tidak membimbangkannya.
“Saya tidak peduli. Itu terpulang kepada mereka,” kata beliau sebelum membangkitkan kemungkinan AS mengekalkan kehadiran di rantau itu bagi mengawal sumber tenaga.
“Kami akhirnya akan berundur kecuali kami memutuskan untuk kekal dan menguasai minyak, seperti Venezuela,” kata Trump.
Perang Iran yang kini memasuki bulan ketujuh telah meragut nyawa 18 anggota tentera AS dan mencetuskan ketidaktentuan berterusan di laluan tenaga global.-Bernama, HMetro Online-
IMedikel TV






