Home Luar Negara FERI VIRGO TRANSPORT 8 TERBALIK DI INDONESIA, ENAM DISAHKAN MAUT, 129 HILANG

FERI VIRGO TRANSPORT 8 TERBALIK DI INDONESIA, ENAM DISAHKAN MAUT, 129 HILANG

Banjarmasin, Indonesia: Sekurang-kurangnya enam orang maut, manakala 129 lagi hilang selepas feri Virgo Transport 8 terbalik dalam keadaan laut bergelora di Banjarmasin, Indonesia, semalam.

Memetik laporan AFP Menerusi Harian Metro, Feri berkenaan yang membawa 213 penumpang dan 30 kru terputus hubungan dengan syarikat perkapalannya pada awal pagi Ahad selepas berlepas dari Surabaya, Jawa Timur.

Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) berkata, 108 orang berjaya diselamatkan, manakala operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang diteruskan.

Mangsa yang terselamat, Rinto Arahap, 33, berkata, ramai penumpang sedang tidur ketika kapal mula senget kira-kira jam 2 pagi sebelum terdengar bunyi seperti logam pecah kira-kira lima jam selepas perjalanan bermula.

“Orang ramai panik, ada yang naik ke atas meja dan ada yang menolak satu sama lain,” katanya.

Menurutnya yang dalam perjalanan ke Samarinda, Kalimantan Timur untuk memulakan pekerjaan baharu, penumpang mula menjerit dan berebut jaket keselamatan ketika kapal semakin condong dalam keadaan ombak melebihi dua meter (m).

“Tiada amaran daripada kru kapal, pada asasnya hanya seseorang yang mengambil inisiatif dengan menjerit, ‘Oh, kapal senget, senget, senget,'” katanya.

Katanya, dia sempat mengambil jaket keselamatan sebelum kapal terbalik dan dihanyutkan selama kira-kira empat jam bersama mangsa lain sebelum diselamatkan.

Sementara itu, ketua operasi mencari dan menyelamat tempatan, I Putu Sudayana berkata, penyelamat berdepan ombak setinggi 2.5 m untuk sampai ke feri berkenaan.

Difahamkan, dua helikopter terbabit dalam operasi mencari bersama beberapa kapal daripada tentera laut, polis, agensi penyelamat dan syarikat feri.

Kedudukan terakhir kapal itu dikesan di Laut Jawa, kira-kira 150 kilometer (km) dari destinasi, manakala Menteri Pengangkutan Indonesia, Dudy Purwagandhi mengesahkan, kapal berkenaan sudah terbalik.

Kemalangan laut kerap berlaku di Indonesia, sebuah negara kepulauan yang mempunyai lebih 17,000 pulau dan sangat bergantung kepada hubungan pengangkutan menggunakan bot untuk perjalanan harian serta pelancongan.

Minggu lalu, sebuah bot laju yang membawa lapan orang, termasuk lima wartawan yang bekerja untuk agensi berita tempatan dan antarabangsa, dilaporkan hilang berhampiran sebuah gunung berapi, Gunung Anak Krakatau, di wilayah Banten.

Operasi mencari mereka masih dijalankan.-AFP, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here