Home Buletin Semasa ISU SALAH LAKU SEKSUAL: BUANG SEKOLAH JIKA DIDAPATI BERSALAH – KPM

ISU SALAH LAKU SEKSUAL: BUANG SEKOLAH JIKA DIDAPATI BERSALAH – KPM

298
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan pihaknya memberi perhatian serius terhadap kesejahteraan murid yang menjadi mangsa salah laku seksual di sebuah sekolah di Melaka.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi KPM semalam, mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital dan turut menerima sokongan psikososial bagi membantu pemulihan dari segi mental dan emosi.

KPM memaklumkan, tindakan sedang diambil pihak berkuasa dan semua murid yang terlibat dalam kes berkenaan sudah ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Memandangkan siasatan masih berjalan, murid berkenaan yang kini berada di Tingkatan 5 mempunyai hak untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula November ini,” menurut kenyataan itu.

Langkah tersebut, jelas KPM, selaras dengan keputusan sama yang diambil kementerian pada tahun 2019 membabitkan kes salah laku seksual membabitkan tujuh murid di Sabah.

KPM menegaskan bahawa kebenaran untuk menduduki peperiksaan SPM tidak akan mengganggu proses undang-undang yang sedang dijalankan.

“Lembaga Tatatertib Sekolah akan menjatuhkan hukuman buang sekolah terhadap murid yang didapati bersalah,” tambah kenyataan itu.

Terdahulu media melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Melaka dipercayai dirogol dua pelajar senior di dalam kelas.

Kejadian itu juga dirakam menggunakan telefon bimbit dan dilihat oleh dua pelajar lain.

Menurut laporan media, kejadian itu terbongkar pada petang Jumaat selepas ibunya mendapat maklumat mengenai penyebaran video itu daripada guru sekolah sebelum membawa mangsa membuat laporan polis.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here