Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Skuad legenda Ex Pahang FA berjaya menebus kekalahan terdahulu apabila menewaskan Ex Kelantan FA 2-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Darul Makmur, di sini semalam.
Kemenangan di hadapan lebih 16,000 penyokong itu membolehkan skuad kendalian Ahmad Shahruddin Rosdi membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta piala pusingan.
Ex Pahang membuka jaringan menerusi Mohd Shafie Zahari pada minit ke-39 sebelum bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin menyamakan kedudukan buat Ex Kelantan pada minit ke-50.

Bagaimanapun, Mohd Faizol Hussien muncul wira tuan rumah apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-59 sekali gus memastikan kemenangan berpihak kepada skuad Tok Gajah.
Perlawanan yang berlangsung dalam suasana meriah itu turut menyaksikan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal yang menyampaikan hadiah kepada pasukan pemenang.
Aksi berkenaan merupakan pertemuan timbal balik kedua-dua pasukan selepas Ex Kelantan mencatat kemenangan 2-1 ke atas Ex Pahang pada perlawanan pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pada 3 Mei 2025.

Antara bekas pemain yang memperkuatkan Ex Pahang ialah Azamuddin Akil, Razman Roslan, Fauzi Rozlan, Muhammad Gopi Rizqi Rama Chandra, R Surendran, Shahrizan Salleh, Juzaili Samion serta legenda skuad Tok Gajah, Azizul Kamaluddin.
Ex Kelantan pula dibarisi bekas pemain seperti Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya, Nor Farhan Muhammad, Mohd Daudsu Jamaluddin dan Mohd Shahrizan Ismail.
Ketua pasukan Ex Pahang, Azamuddin Akil atau Alex berkata, beliau bersama rakan sepasukan berterima kasih kepada semua peminat bola sepak yang hadir memberikan sokongan terhadap perlawanan berkenaan.
Menurutnya, kemenangan itu cukup bermakna kerana mereka berjaya membalas kekalahan 1-2 kepada Ex Kelantan pada aksi persahabatan di Kota Bharu, Mei tahun lalu.
Beliau turut melahirkan kegembiraan melihat sambutan menggalakkan daripada penyokong kedua-dua pasukan yang hadir memeriahkan perlawanan berkenaan.
Sementara itu, Fadzli berkata, kehadiran lebih 16,000 penonton ke Stadium Darul Makmur membuktikan bola sepak masih mempunyai tarikan tersendiri dalam kalangan masyarakat.
Katanya, aksi menarik dan persembahan bertenaga yang dipamerkan bekas pemain kedua-dua pasukan, termasuk serangan balas yang menghiburkan, berjaya memberikan pengalaman istimewa kepada penonton.
IMedikelTV






