Home Sukan 40 GOL BELUM CUKUP, SOUZA MASIH DAHAGAKAN KEJUARAAN BERSAMA PAHANG RANGERS

40 GOL BELUM CUKUP, SOUZA MASIH DAHAGAKAN KEJUARAAN BERSAMA PAHANG RANGERS

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Kejayaan meraih Anugerah Penjaring Terbanyak Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2026 selepas meledak 40 gol belum cukup memberikan kepuasan sepenuhnya kepada bintang Pahang Rangers, Felipe de Souza.

Sebaliknya, pemain kelahiran Brazil itu mengakui masih terkilan apabila gagal membantu pasukan Pantai Timur berkenaan menjulang kejuaraan selepas tewas kepada Selangor FC pada aksi final bulan lalu.

Souza berkata, meskipun berpuas hati dengan pencapaian peribadinya musim ini, hasrat untuk menghadiahkan kejuaraan kepada Pahang Rangers, penyokong serta dirinya sendiri masih belum kesampaian selepas tiga musim bersama pasukan itu sejak 2024.

Sepanjang tempoh berkenaan, pemain berkenaan berjaya mengumpul keseluruhan 71 gol, sekali gus membuktikan ketajamannya sebagai antara tonggak utama jentera serangan Pahang Rangers.

“Dua tahun berturut-turut (2025 dan 2026) Pahang Rangers tunduk kepada Selangor. Impian untuk menjulang piala kejuaraan musim ini hampir menjadi kenyataan, namun dinafikan skuad Merah Kuning.

“Impian saya selepas ini adalah untuk meraih kejuaraan sekiranya Pahang Rangers masih menyambung kontrak musim depan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mengulas prestasi pasukan, Souza berkata, Pahang Rangers secara keseluruhannya memiliki kelebihan untuk muncul juara musim ini, namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila tewas pada aksi final kedua menerusi masa tambahan di gelanggang lawan.

Katanya, sejak menyertai pasukan itu, matlamat utamanya adalah untuk membantu Pahang Rangers meraih kejuaraan, namun impian berkenaan masih belum menjadi kenyataan.

Untuk rekod, Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara MPFL pada 2024 sebelum Selangor FC menguasai kejuaraan bagi dua musim berturut-turut, iaitu pada 2025 dan 2026.

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here