ALOR SETAR: Pelumba Malaysia, Fazrul Fauzi mencatat sejarah membanggakan apabila muncul juara dalam Kejohanan Bot Laju Dunia Kedah 2026 yang pertama kali dianjurkan di kawasan Sungai Kedah semalam.
Memetik laporan Berita Harian, Pelumba kategori F3000 itu berjaya mengatasi Ezzat Tahir, juga dari Malaysia yang menduduki tempat kedua dan pelumba Finland, Risto Painio di tempat ketiga.
Manakala untuk saingan T750 pula, pelumba dari Singapura, Clement Tham turut cemerlang di kedukan pertama, dengan dua lagi pelumba, Sayed (Malaysia) dan CK Siu (England) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Selain itu, Presiden Persatuan Sukan Bot Laju Malaysia, Ezzat memperoleh kemenangan berganda selepas turut merangkul piala dalam acara Feature Race.
Acara yang bermula dari 5 November lalu dan berakhir semalam menyaksikan penyertaan sebanyak 17 pasukan dari 12 buah negara untuk merebut kejuaraan kategori F3000 dan T750 yang diadakan berhampiran ibu pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Ampang Jajar.
Dengan sambutan lebih 5,000 penonton yang hadir, kejohanan julung kali diadakan di sini dilihat cukup berpotensi untuk memperkukuhkan lagi sektor pelancongan negeri serta memperkenalkan lokasi berkenaan sebagai destinasi sukan bermotor air antarabangsa.
Kerajaan Negeri Kedah juga sebelum ini turut mempertimbangkan untuk menjadikan Kejohanan Bot Laju Dunia Kedah 2026 ini sebagai acara tahunan susulan sambutan positif daripada para pelumba antarabangsa dan tempatan di atas keunikan litar perlumbaan di kawasan Sungai Kedah ini.
Malah, hasrat berkenaan juga turut mendapat sambutan positif dalam kalangan pelumba yang berminat untuk kembali menyertai kejohanan di sini sekiranya dianjurkan pada masa depan. – BH Online –
IMedikelTV






