Home Sukan TUCHEL, BELLINGHAM KEMBALI SERASI

TUCHEL, BELLINGHAM KEMBALI SERASI

London: Hubungan pengendali England, Thomas Tuchel dengan bintang Real Madrid, Jude Bellingham yang sebelum ini disifatkan seperti ‘roller coaster’, kini kembali pulih dan berada dalam keadaan positif.

Memetik laporan Afp menerusi Harian Metro, Tuchel mengakui beliau gembira membimbing pemain tengah berusia 23 tahun itu selepas kedua-duanya melalui tempoh mencabar sejak pengendali dari Jerman berkenaan mengambil alih skuad England pada 2025.

Bellingham yang dua kali memenangi anugerah Pemain Terbaik England sejak era Tuchel bermula, sebelum ini pernah berdepan ketegangan dengan pengendali itu susulan beberapa isu membabitkan sikapnya ketika beraksi di atas padang.

Malah, Tuchel pernah memohon maaf tahun lalu selepas mendedahkan ibunya menganggap sebahagian tingkah laku Bellingham ketika beraksi sebagai sesuatu yang menjengkelkan.

Pemain itu juga pernah kehilangan tempat dalam kesebelasan utama England sebelum Piala Dunia, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai peluangnya untuk disenaraikan ke kejohanan berkenaan di Amerika Utara.

Bagaimanapun, Tuchel akhirnya kembali memberikan kepercayaan kepada Bellingham dan keputusan itu membuahkan hasil apabila pemain berkenaan mempamerkan aksi cemerlang sepanjang perjalanan England ke separuh akhir.

“Hubungan kami sememangnya ada turun naik, tetapi sekarang kami berada dalam keadaan baik.

“Saya gembira menjadi jurulatihnya. Dia pemain bertaraf tinggi dan sangat berpengaruh dalam pasukan. Saya fikir perasaan itu turut dikongsi olehnya,” kata Tuchel.

Hubungan kedua-duanya juga dilihat semakin akrab apabila Tuchel menyenaraikan adik Jude, Jobe Bellingham dalam skuad bagi menghadapi perlawanan Liga Negara-Negara menentang Croatia dan Sepanyol.

Pemilihan pemain tengah Borussia Dortmund itu membuka peluang untuk kedua-dua beradik beraksi bersama England buat kali pertama sejak Gary dan Phil Neville melakukannya pada 2007.

Ia sekali gus berpotensi merealisasikan impian terbesar Jude yang sebelum ini pernah menyifatkan peluang beraksi bersama adiknya di pentas antarabangsa sebagai impian terbesar dalam hidupnya.

Tuchel berkata, Jude sebelum ini beberapa kali mencadangkan supaya beliau memberikan perhatian kepada perkembangan Jobe yang kini menunjukkan peningkatan memberangsangkan bersama Dortmund.

“Jude sentiasa berkata, perhatikan adiknya kerana dia pemain bagus dan mampu mencapai tahap ini. Saya pula memberitahunya bahawa kami memang sedang memantaunya.

“Melihat Jude kini gembira menyertai kem latihan, selesa dengan peranannya dan memberikan komitmen sepenuhnya, peluang untuk memiliki kedua-duanya dalam skuad adalah satu lagi perkembangan positif,” katanya. -AFP, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here