Home Sukan KUYT MALUKAN LIVERPOOL DI ISTANBUL

KUYT MALUKAN LIVERPOOL DI ISTANBUL

Istanbul: Dirk Kuyt mencipta kejutan bersama Fenerbahce apabila membantu kelab itu menewaskan bekas pasukannya, Liverpool 3-2 dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Memetik laporan Afp menerusi Harian Metro, Kemenangan dramatik di Istanbul itu menyaksikan Fenerbahce bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan berharga, sekali gus menghidupkan kembali peluang mereka dalam kempen Eropah musim ini.

Liverpool yang memenangi tiga perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara di bawah kendalian Andoni Iraola, bagaimanapun, dihukum akibat kelemahan benteng pertahanan yang gagal mengekalkan kelebihan.

Trey Nyoni dan pemain gantian, Alexander Isak masing-masing meletakkan The Reds di depan, namun Mason Greenwood dan Archie Brown memastikan tuan rumah kembali mengikat kedudukan sebelum Vedat Muriqi muncul wira menerusi gol kemenangan.

Perlawanan itu cukup bermakna buat Kuyt yang pernah menghabiskan enam tahun bersama Liverpool sebagai pemain sebelum kini memikul tanggungjawab sebagai pengendali sementara Fenerbahce.

Bekas penyerang Belanda itu baru mengendalikan pasukan berkenaan buat kali kedua selepas Ismail Kartal meletakkan jawatan minggu lalu.

Fenerbahce yang hanya mengutip dua mata daripada tiga perlawanan kempen, nyata memanfaatkan kelemahan Liverpool untuk meraih kemenangan yang cukup penting.

Iraola pula membuat lima perubahan dalam kesebelasan utama selepas kekalahan 0-1 kepada Arsenal, Ahad lalu, dengan Isak dan Florian Wirtz antara pemain yang direhatkan.

Nyoni yang dikekalkan dalam kesebelasan utama membalas kepercayaan itu apabila meledak gol pertama Liverpool menerusi rembatan dari luar kotak penalti selepas pertahanan Fenerbahce gagal mengeluarkan hantaran lintang Dominik Szoboszlai.

Namun, kelebihan itu hanya bertahan empat minit apabila sepakan percuma Greenwood yang terkena pemain pertahanan mengelirukan penjaga gol, Alisson Becker untuk menyamakan kedudukan.

Iraola kemudian memasukkan Isak, Wirtz dan Cody Gakpo selepas sejam permainan bagi memburu gol kemenangan dan tindakan itu membuahkan hasil apabila Isak menanduk masuk hantaran lintang Gakpo.

Bagaimanapun, Liverpool sekali lagi mensia-siakan kelebihan apabila sentuhan Gakpo secara tidak sengaja mengubah arah hantaran lintang lawan sehingga membolehkan Brown menyamakan kedudukan menerusi tolakan mudah di tiang jauh.

Kerapuhan benteng The Reds terus dihukum apabila Muriqi mengatasi Jeremy Jacquet dalam perebutan bola hantaran tinggi sebelum menanduk masuk gol kemenangan Fenerbahce.

Kekalahan itu menyaksikan Liverpool terlepas peluang untuk menyamai kedudukan Paris Saint-Germain (PSG) di puncak carta Liga Juara-Juara.

Iraola mengakui pasukannya perlu memperbaiki aspek pertahanan selepas gagal mengekalkan kelebihan yang diraih dalam perlawanan itu.

“Kami dua kali mendahului selepas mempamerkan aksi baik dan mengawal permainan, namun melepaskan gol dalam situasi yang sepatutnya mampu dipertahankan dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Isak menegaskan kekalahan berkenaan bukan petanda kempen Liverpool sudah terjejas teruk, sebaliknya mereka perlu segera kembali mencatat kemenangan.

“Kami meletakkan diri dalam kedudukan yang baik. Kekalahan hari ini bukan satu keadaan yang membawa bencana. Kami hanya perlu kembali menang dan jika berjaya melakukannya dalam perlawanan seterusnya, kedudukan kami akan kembali baik,” katanya.

Kemenangan itu melonjakkan Fenerbahce ke tangga ke-19 daripada 36 pasukan, manakala lapan pasukan teratas layak secara automatik ke pusingan 16 terakhir. Pasukan di tangga kesembilan hingga ke-24 pula perlu mengharungi aksi play-off dua perlawanan. -AFP, HMetro Online-

IMedikelTV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here