Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
CAMERON HIGHLANDS: Sebanyak 18 laluan pendakian dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di daerah ini ditutup sementara bermula kelmarin hingga Januari tahun depan bagi menjamin keselamatan pengunjung sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Nasrul Akmal Amaludin berkata, penutupan itu dilaksanakan berikutan keadaan cuaca tidak menentu yang boleh meningkatkan risiko kemalangan kepada pendaki dan pengunjung.
Menurutnya, kerja-kerja mengunci pintu masuk ke laluan pendakian, memasang pita larangan masuk berwarna kuning serta meletakkan notis penutupan sementara di kesemua 18 laluan berkenaan telah dilaksanakan kelmarin.

Katanya, hujan berterusan sepanjang MTL berisiko menyebabkan laluan menjadi licin, selain kejadian pokok tumbang dan tanah runtuh yang boleh mengancam keselamatan pengunjung.
“Cuaca yang tidak menentu sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) mengundang risiko kepada mereka yang berada dalam kawasan hutan simpan kekal di daerah ini.
“Hujan yang berlaku menyebabkan laluan licin, pokok tumbang dan tanah runtuh.
“Setiap tahun apabila tiba Monsun Timur Laut, kita bertindak menutup 18 laluan pendakian yang berada dalam hutan simpan kekal di daerah ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Antara laluan yang ditutup sementara ialah Gunung Berembun di Hutan Simpan Ulu Bertam, Gunung Jasar dan Gunung Perdah di Hutan Simpan Sempadan Hijau (B), serta Gunung Ruil di Hutan Simpan Sempadan Hijau (A).
Turut terlibat ialah laluan Bukit Tinggi, Gunung 6040, Gunung Cantik dan Gunung Yellow.
Bagaimanapun, Nasrul Akmal berkata, aktiviti pelancongan di Mossy Forest dan Cameron Highlands Montane Park (CHiMP) masih dibuka kepada pengunjung kerana kedua-dua lokasi itu mempunyai tarikan tersendiri.
Beliau berkata, pihaknya turut memaklumkan penutupan sementara itu kepada agensi pelancongan dan Malim Gunung Perhutanan (MGP) supaya mereka tidak menerima tempahan pendakian ke kawasan terbabit sepanjang tempoh berkenaan.
IMedikel TV






