Home Luar Negara ELON MUSK ‘RUGI BESAR’ DISEBABKAN KEKALAHAN PARTI REPUBLIKAN

ELON MUSK ‘RUGI BESAR’ DISEBABKAN KEKALAHAN PARTI REPUBLIKAN

Bengaluru: Ketika Parti Republikan mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) dan Texas memilih gabenor Demokrat pertama dalam tempoh lebih tiga dekad, antara individu paling terkesan bukanlah calon yang bertanding, sebaliknya bilionair Elon Musk.

Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Individu terkaya di dunia itu membelanjakan hampir AS$500 juta (RM2.1 bilion) bagi menyokong calon Republikan dan memastikan Texas kekal sebagai negeri yang dikuasai parti itu.

Texas merupakan lokasi operasi pengeluar kenderaannya, Tesla, syarikat roket dan kecerdasan buatan (AI), SpaceX, serta projek usaha sama pengeluaran cip yang dirancang antara kedua-dua syarikat berkenaan.

Keputusan itu dilihat sebagai tamparan kepada Presiden AS, Donald Trump, yang juga sekutu rapat Musk dan pernah mendapat sokongan bilionair berkenaan untuk memenangi pilihan raya.

Musk, yang sehingga semalam masih menggesa pengikutnya di platform X supaya mengundi Republikan, kini berdepan kebangkitan semula Parti Demokrat yang selama ini sering menjadi sasaran kritikannya.

Penderma terbesar kepada Parti Republikan itu turut mengancam untuk mengambil tindakan balas menerusi platform media sosialnya bulan lalu selepas satu laporan menyatakan Demokrat sedang mempertimbangkan siasatan terhadap syarikat-syarikat miliknya sekiranya parti itu memenangi pilihan raya pertengahan penggal.

Saham SpaceX susut 5.5 peratus, manakala Tesla merosot 5.1 peratus, dengan kedua-dua saham itu mencatatkan prestasi lebih lemah berbanding pasaran secara keseluruhan.

Antara cabaran terbesar Musk mungkin melibatkan proses kelulusan pembinaan pusat data yang lebih perlahan, sedangkan kemudahan itu penting bagi merebut peluang dalam pasaran berpotensi bernilai AS$28.5 trilion yang diketengahkan SpaceX kepada pelabur menjelang tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu.

Penganalisis dan pakar menjangkakan Demokrat akan memperketat penelitian terhadap projek pusat data serta mendesak supaya pembinaan kemudahan baharu digantung sementara, susulan peningkatan bantahan masyarakat setempat berhubung kos elektrik.

“Penguasaan Demokrat di kedua-dua dewan Kongres akan meningkatkan tekanan terhadap sektor teknologi dan berpotensi mencetuskan tekanan kawal selia terhadap segala aspek berkaitan AI, sekali gus memperlahankan pertumbuhan pesat sektor itu yang sering kita lihat setiap hari dan anggap sebagai sesuatu yang biasa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Longbow Asset Management, Jake Dollarhide.

“Musk merupakan harapan terakhir Republikan menjelang saat-saat akhir pilihan raya. Malangnya, suntikan dana besar yang disalurkannya bagi menyokong negeri-negeri yang dikuasai Republikan tidak mampu mengatasi peningkatan bil utiliti, harga barangan runcit dan harga petrol,” katanya.

Musk turut menjadi perhatian penggubal undang-undang Demokrat berhubung sekatan komunikasi satelit yang digunakan tentera Ukraine, pemotongan besar-besaran pekerjaan persekutuan ketika beliau mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), serta kontrak dan subsidi kerajaan yang diterima syarikat-syarikat miliknya.

Antara penggubal undang-undang berkenaan ialah Robert Garcia, yang bakal memegang jawatan pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Dewan Perwakilan.

Beliau menyampaikan mesej ringkas tetapi tegas kepada Republikan dan sekutu mereka pada malam Selasa: “Dapatkan peguam masing-masing.”

Di Texas, Musk juga mungkin perlu berdepan hubungan yang tidak menentu antara dirinya dengan Hinojosa.

Gabenor yang bakal memegang jawatan itu sebelum ini memfailkan saman bagi mendapatkan e-mel antara Musk dan Abbott, selain menuduh bekas gabenor berkenaan menggadaikan kepentingan negeri Texas dengan menawarkan perjanjian yang menguntungkan bilionair itu.

Beliau turut menyifatkan usaha Abbott untuk mengehadkan pembangunan pusat data sebagai sandiwara politik, sebaliknya menggesa supaya semua projek baharu dihentikan serta-merta sehingga penggubal undang-undang memperkukuh perlindungan terhadap masyarakat setempat, selain menamatkan insentif pengecualian cukai.

Musk sendiri dilihat memperlekehkan cabaran berkenaan menerusi satu hantaran di X.

“Pusat data di angkasa nampaknya semakin menarik sekarang,” tulisnya, merujuk kepada rancangan bercita-cita tinggi SpaceX untuk menempatkan pusat data di orbit, meskipun berdepan cabaran besar berkaitan sistem penyejukan dan kerja pembaikan.

Perniagaan AI syarikat itu berpusat pada Colossus dan Colossus II, antara dua pusat data AI terbesar di dunia yang terletak berhampiran Memphis.

Penyewaan kapasiti pengkomputeran kedua-dua pusat data itu kepada pelanggan termasuk Anthropic melonjakkan pendapatan syarikat, sekali gus membantu SpaceX mencatatkan keuntungan pertamanya sebagai syarikat awam.

Bagaimanapun, syarikat itu menyasarkan untuk hampir menggandakan kapasiti daripada 1.7 gigawatt pada akhir September kepada sehingga tiga gigawatt menjelang akhir tahun ini, sebelum meningkatkannya kepada 13 gigawatt tahun depan.

Sebarang kelewatan mengoperasikan kapasiti berkenaan berpotensi menjejaskan sasaran pendapatan bercita-cita tinggi Musk, selain meningkatkan penelitian pelabur yang semakin bimbang terhadap kos infrastruktur AI yang terus meningkat.

Firma penyelidikan cip, SemiAnalysis, mengenal pasti lebih sembilan gigawatt kapasiti pusat data yang dirancang atau sedang dibangunkan, termasuk kemudahan baharu di kompleks Starbase milik SpaceX di Boca Chica, Texas.

Bagaimanapun, rancangan peluasan di Boca Chica itu mungkin berdepan tentangan apabila Hinojosa sebelum ini membantah kemungkinan penjualan sebuah taman negeri di kawasan pantai kepada SpaceX, selepas majalah Texas Monthly melaporkan pegawai kerajaan pernah membincangkan urus niaga berkenaan.

“Biarlah saya tegaskan dengan jelas: Texas bukan untuk dijual,” kata Hinojosa bulan lalu.

Sementara itu, Musk sudah memadamkan hantaran pada hari pilihan raya yang menggesa pengikutnya supaya mengundi calon Republikan.

Bagaimanapun, segala percaturan itu tidak menjadi kenyataan apabila Demokrat berjaya menguasai kedua-dua dewan Kongres, manakala Gina Hinojosa menewaskan Greg Abbott dalam persaingan merebut jawatan gabenor Texas. -REUTERS, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here