KUALA LUMPUR: Melihat adik kesayangan disunting kekasih hati bukanlah fasa mudah buat pelakon, Nur Fasha Sandha Hassan, 42, menyesuaikan diri dengan perubahan itu, lima tahun lalu.
Memetik laporan Berita Harian, Apatah lagi, adik bongsunya, Elisya Sandha, 27, cukup rapat dengannya hingga ada yang menyangka mereka ibu dan anak berikutan jurang usia yang agak jauh. Malah, Fasha juga sering membawa Elisya ke mana-mana.
Justeru, apabila Elisya dilihat seakan-akan lebih mengutamakan keluarga mentua pada awal perkahwinannya dengan Uzair Haqimy, anak kepada penerbit drama terkenal, Jinggo Azman dan Sheila Rusly, Fasha mengakui pernah berkecil hati.
“Saya terasa hati ketika dia mula-mula berkahwin. Mungkin kerana hubungan kami sangat rapat sehingga ada yang pernah menyangka dia anak saya.
“Jadi, apabila dia seakan-akan lebih mengutamakan keluarga mentua, saya akui sedikit terasa.
“Sepatutnya saya perlu terima hakikat bahawa dia bukan lagi ‘baby’ saya, sebaliknya sudah menjadi tanggungjawab suami dan sebahagian daripada keluarga baharunya.
“Situasi itu hanya berlaku pada awal perkahwinannya. Selepas beberapa tahun, saya mula fahami keadaan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya semula sebagai Duta NuMee bagi tahun keempat di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Elisya berkata, hubungan akrab sesama adik-beradik perlu sentiasa dipupuk dengan meluangkan masa bersama termasuk menghadiri setiap acara penting keluarga seperti sambutan hari lahir.
Tambah Elisya, mereka bersyukur kerana dikurniakan hubungan kekeluargaan yang erat, meskipun menyedari tidak semua keluarga berpeluang menikmati keakraban sedemikian.
“Tip kami adalah sentiasa berjumpa. Contohnya, jika ada seorang daripada adik-beradik menyambut hari lahir, semua perlu hadir. Dari situlah kami membina keserasian dan mengeratkan hubungan.
“Namun, semuanya berbalik kepada rezeki. Mungkin rezeki saya, kakak dan adik-beradik lain dikurniakan hubungan yang sangat akrab dan kuat.
“Sesetengah orang mungkin tidak berpeluang menikmati keadaan sama kerana masing-masing tinggal berjauhan. Ada yang menetap di Perlis, manakala seorang lagi mungkin di London. Jadi, agak sukar untuk mereka berjumpa dengan kerap,” katanya.
Bagaimanapun, Elisya mengakui mereka juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada perselisihan faham dan merajuk sesama sendiri.
Namun, mereka seboleh-bolehnya tidak membiarkan perselisihan itu berlarutan terlalu lama. Malah, Elisya biasanya menjadi individu pertama yang mengalah memandangkan dia anak bongsu dalam keluarga.
“Paling lama pun kami merajuk selama tiga hari. Selepas itu, saya yang perlu meminta maaf kerana saya paling muda,” katanya.
Sementara itu, Fasha berkata, kesediaannya berkongsi peluang bersama Elisya menerusi pelantikan sebagai rakan NuMee berlandaskan kepercayaan bahawa rezeki perlu dikongsi, bukannya dibolot untuk kepentingan sendiri.
Fasha juga yakin dengan kebolehan adiknya dalam bidang masakan, selain percaya kehadiran Elisya mampu memberikan nafas baharu kepada jenama berkenaan khususnya dalam menarik perhatian golongan muda.
“Saya selalu percaya kita perlu berkongsi rezeki. Saya juga yakin dengan kebolehan Elisya memasak dan mahu memberikan nafas baharu kepada jenama ini menerusi kehadiran generasi Z (Gen Z).
“Jenama ini bukan hanya untuk golongan ibu seperti saya yang mempunyai ramai anak, sebaliknya mahu menarik perhatian golongan muda supaya mereka turut menggunakan produk ini,” katanya.
Sebagai kakak, Fasha turut meluahkan rasa bangga melihat perkembangan kerjaya seni Elisya sejak adiknya itu mula menceburi bidang lakonan selepas tamat persekolahan hingga kini.
Malah, sebelum Elisya melangkah ke dunia lakonan, Fasha turut memainkan peranan memberikan nasihat dan membentuk disiplin adiknya, terutama ketika bekerja di lokasi penggambaran.
“Daripada segi kerjaya, saya bangga dengan Elisya kerana banyak mendengar perkara baik mengenai dirinya.
“Ramai yang mengatakan dia mengikut jejak langkah saya dari segi ketepatan masa. Sepanjang ingatan saya, Elisya hanya pernah sekali datang lambat dan itu pun ketika baru mula menceburi industri seni,” katanya. -BH Online-
IMedikel TV






