Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
ROMPIN: Jabatan Perikanan Negeri Pahang menyita sebuah vesel bubu Zon A tempatan bersama hasil tangkapan bernilai kira-kira RM80,000 selepas dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam kawasan Taman Laut Pulau Tioman, kelmarin.
Vesel berdaftar di Johor itu dikesan melakukan aktiviti berkenaan pada jarak kira-kira 0.6 batu nautika dari Pulau Chebeh, menerusi operasi pemantauan di perairan Taman Laut Tioman bagi membanteras kegiatan perikanan yang melanggar Akta Perikanan 1985.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Roslan Abu Hasan, berkata pihaknya memandang serius kesalahan dilakukan vesel berkenaan yang menangkap ikan di kawasan taman laut, sedangkan Pulau Tioman merupakan destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Menurutnya, aktiviti itu dikesan empat anggota Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (PKOPP) Teluk Gading yang menjalankan rondaan di sekitar perairan Taman Laut Pulau Tioman.
” Bagi pihak jabatan, saya mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang tampil memberikan maklumat mengenai kehadiran vesel yang sedang menangkap ikan dalam kawasan taman laut.
“Aktiviti menangkap ikan dalam kawasan taman laut boleh mengundang kerosakan dan kemusnahan batu karang yang banyak terdapat di dasar laut Pulau Tioman,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, pemilik vesel berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan pada jarak kurang daripada 12 batu nautika bagi vesel Zon C.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Roslan berkata, kegiatan menangkap ikan dalam kawasan taman laut merupakan kesalahan serius kerana boleh menyebabkan kemusnahan batu karang yang menjadi antara tarikan utama pelancong ke pulau peranginan berkenaan.
“Kita tidak akan berkompromi dengan nelayan yang bersikap degil melanggar peraturan menangkap ikan dalam kawasan taman laut. Sikap rakus mereka pasti berakhir dengan hukuman setimpal,” katanya.
IMedikel TV






